Rancangan Tubuh Sekolah Tahfiz Khas Disambut Baik KPM


ALOR SETAR - Rancangan kerajaan bagi menubuhkan sebuah sekolah khusus bagi membantu pelajar tahfiz yang tercicir dalam akademik mendapatkan sijil telah mendapat sambutan baik dari Kementerian Pendidikan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, benar bahawa kebanyakan pelajar tahfiz dilihat sukar mendapat pekerjaan selepas tamat persekolahan disebabkan tidak memiliki sebarang sijil akademik.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan satu mesyuarat jawatankuasa peringkat tertinggi berkaitan sekolah tahfiz (persendirian dan swasta) bersetuju membina sebuah sekolah khas berkenaan di Bagan Datuk, Perak.

“Langkah membina sekolah yang membolehkan pelajar tahfiz mendapat sijil akademik dan kemahiran adalah bukti kerajaan sedaya-upaya berusaha membantu kelompok tersebut,” katanya di Padang Terap, semalam.

Terdahulu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap menyampaikan sumbangan kepada 50 penerima yang terdiri daripada pesara guru dan kakitangan sekolah serta guru yang sakit sempena Program Ziarah Kasih anjuran Bikers Guru 1Malaysia.

Kira-kira 200 orang Bikers Guru 1Malaysia yang menyertai konvoi ke utara Malaysia - Thailand turut memberi sumbangan kepada 50 anak yatim serta murid miskin di Sekolah Kebangsaan Padang Terap, di sini.

Selain itu, Mahdzir turut memberitahu pihaknya bersedia membantu kerajaan bagi membolehkan pelajar tahfiz yang tercicir akademik untuk mendapatkan sijil.

“Di bawah Kementerian Pendidikan, kita mempunyai sekolah kebangsaan agama yang membolehkan pelajar mepelajari akademi dan agama.

“Selain itu, kita mempunyai 14 buah sekolah yang Ulul Albab yang membolehkan pelajar menghafaz dan mempelajari sains tulen. Kita mempunyai bekalan guru yang cukup untuk membantu kerajaan menubuhkan sekolah berkenaan,” ujarnya. - Kedahnews.com