Rayuan Mukhriz Ditolak Mahkamah


Mahkamah Rayuan menolak rayuan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berhubung satu kes saman, dalam blognya.

Mukhriz memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Najib atas dakwaan mengeluarkan kenyataan  berhubung perbicaraan kes saman yang difailkannya terhadap Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Kuorum berkenaan antara lain berpuas hati Mahkamah Tinggi betul ketika menolak permohonan Mukhriz untuk mendapat kebenaran memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Perdana Menteri.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membuat keputusan itu selepas mendapati kenyataan yang dimuat naik oleh Najib dalam blognya pada 7 Julai tahun lalu, enam hari sebelum perbicaraan kes yang ditetapkan pada 13 Julai, tiada kaitan dengan perbicaraan kes saman berkenaan.

Mukhriz memfailkan permohonan ex-parte terhadap Najib pada 13 Julai tahun lalu atas dakwaan membuat satu kenyataan yang mana antara kandungannya merujuk kepadanya (Mukhriz) dan berbentuk kenyataan yang didakwa sebagai menghina dan mencampuri urusan mahkamah.

Sumber: Utusan