Remaja OKU Di Baling Maut Bertembung 3 Kenderaan


ALOR SETAR - Nasib malang menimpa seorang remaja orang kurang upaya (OKU) apabila dia maut setelah motosikal ditunggang bersama rakan terlibat dalam kemalangan dengan tiga buah kereta di Kampung Pisang, Jalan Kulim-Baling-Gerik pada pukul 3.40 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Shariffuddin Mohd. Yusuf berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku berpunca daripada motosikal jenis Yamaha Sport yang ditunggangi mangsa.

Mangsa, Ismail Mohd. Zakri, 15, dikatakan cuba memotong dua kereta di hadapannya akan tetapi gagal sebelum dirempuh sebuah kereta lain yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya, mangsa yang ketika itu menunggang motosikalnya terperosok di bawah kereta Toyota Innova manakala rakannya, Mohd. Taufik Mat Tahir, 15, melambung ke atas cermin hadapan kereta Toyota Vios.

“Mangsa didapati meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya itu cedera parah dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Baling untuk rawatan lanjut,” katanya di sini semalam.

Menurut bapa mangsa, Mohd. Zakri Shamsudin, 54, dari Kampung Tiak, Telok Petata, Kupang di sini, mereka sekeluarga menerima berita sedih itu dan tidak menyangka akan kehilangan anak keempat daripada tujuh beradik itu.

“Kami baru sahaja balik daripada menghadiri kenduri di rumah saudara di kampung berhampiran dan sempat makan bersamanya tengah hari tadi.

“Sebelum itu dia sempat membawa ibunya, Zarina Manaf, 48, dan dua adiknya menghadiri majlis kenduri dan selepas selesai makan kenduri dia meminta izin untuk pulang dulu ke rumah dan membawa dua adiknya Mohd. Musa, 10, dan Mohd. Solleh, 8,” kata Mohd. Zakri ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat, Hospital Daerah Baling, semalam.

Menurutnya, dia menerima berita tentang kemalangan itu sewaktu berada di kedai untuk membeli barang sebelum diberitahu rakannya ada ‘budak’ kemalangan di Jalan Baru Kupang -Gerik berdekatan jambatan Kampung Pisang, Mukim Kupang.

“Saya memegang tangannya sambil mengucapkan syahadah kepadanya dengan harapan dia masih bernyawa dan mendengarnya.

“Hampir setengah jam saya memegang tangannya dan mengusap badannya yang dipenuhi darah sebelum ambulans datang,” kata Mohd. Zakri.

Namun begitu, dia reda dengan kematian anaknya itu setelah pihak hospital mengesahkan anaknya itu meninggal dunia. - Kedahnews.com