Remy Mohon Pelakon Baharu Banyak Tanya, Bukan Diam


SEJAK melibatkan diri dalam dunia seni sekitar 12 tahun yang lalu, Remy Ishak mengakui bahawa banyak cabaran yang dia perlu lalui apabila digandingkan dengan mana-mana bakat baharu.

Menurut Remy atau nama sebenarnya, Mohamad Zalimie Ishak, 36, kebanyakan pendatang baharu yang kekurangan ilmu serta pengalaman terhadap insudtri seni turut membuatkan proses sesuatu drama atau filem itu menjadi sedikit meletihkan.

“Sejujurnya, penat juga berlakon dengan bakat baharu ini sebab mereka mungkin kurang pengalaman dan ilmu mengenai seni lakon.

“Kebanyakan bukan datang daripada bidang ini dan perlukan sedikit masa untuk memperbaiki mutu lakonan.

“Saya pun pernah bergelar pelakon baru, cumanya saya beruntung dapat belajar dengan ramai senior mengenai industri,” katanya dipetik daripada mStar Online.

Pada penglihatan Remy sendiri, pendatang baharu kebanyakannya lebih selesa duduk menyendiri sahaja serta tidak guna peluang keemasan diperoleh untuk bertanya tentang teknik atau penyampaian lakonan terbaik daripada pelakon berpengalaman lain.

Namun, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu juga tidak meletakkan sepenuhnya kesalahan kepada mereka dan dia juga mengerti bahawa perasaan gentar ketika bersemuka dengan ‘orang lama’ akan mempengaruhi perasaan seorang pelakon baharu itu sendiri.

“Biasanya pelakon baru buat hal sendiri saja di set penggambaran. Kalau mereka tak tanya kita pun diam sajalah.

“Saya faham perasaan gementar apabila jumpa orang lama dalam industri dan tak marahkan mereka.

“Itu normal sebagai pendatang baharu, cumanya harap selepas ini mereka menjadi lebih baik dan belajar lagi,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun, itu semua tidak membuatkan Remy serik untuk digandinkan dengan bakat baharu yaang lain.


Pelakon kelahiran Negeri Sembilan itu juga baru sahaja selesai menjalani pengambaran drama Kekasih Paksa Rela bersama dengan seorang pendatang baharu, Intan Najuwa.

Gandingan mereka menerusi drama rantaian itu turut diterima baik oleh penonton kerana lakonan mantap Remy bersama Intan bagaikan ‘kena’, lagi pula gadis tersebut baru sahaja berjinak-jinak dalam dunia lakonan.

“Saya bersikap terbuka untuk berlakon dengan sesiapa sahaja kerana percaya masing-masing ada kemahiran tersendiri.

“Cumanya ada ketika saya perlu tengok dahulu naskah apa yang ditawarkan, kalau karya ringan tak apa, untuk produk yang lebih berat saya perlu tahu siapa gandingan terlebih dahulu,” ujarnya lagi.

Remy juga baru menghadiri malam gala Drama Eksklusif Mini Siri DO[s]A yang menampilakan Hisyam Hamid, Ashraf Sinclair, Datuk M Nasir serta dirinya sendiri.

Ia bakal ditayangkan pada 14 Februari ini menerusi saluran Astro First saluran 480 atau On Demand. – Kedahnews.com