ALOR SETAR - Lebih 1,000 peminat setia pasukan Helang Merah memenuhi kawasan lapang Bandar Puteri Jaya (BPJ) bagi menonton perlawanan Piala Sumbangsih antara Kedah melawan Johor JDT melalui skrin besar malam tadi.
Cetusan idea memasang skrin besar timbul dari ahli Kelab Penyokong Hijau Kuning BPJ yang kecewa apabila tiada siaran langsung perlawanan Piala Sumbangsih antara Kedah dan Johor JDT dalam televisyen.
Menurut wakil ahli kelab,Hasnizan Idris,43, berkata pihaknya menggunakan saluran internet TM Unifi yang dipancar ke skrin besar bagi menonton siaran langsung perlawanan itu secara beramai-ramai melalui skrin berkenaan.
"Pemasangan skrin besar itu begitu mendapat sambutan dari orang ramai dan peminat serta penyokong Helang Merah bukan sahaja sekitar BPJ malah dari Sungai Petani juga.
"Seawal 8.30 malam orang ramai sudah memenuhi hadapan skrin besar bagi menyaksikan perlawanan itu," katanya ketika ditemui.
Memetik BH Online, Hasnizan berkata, awalnya mereka menjangka kehadiran sekitar 100 hingga 300 orang sahaja penonton dari kalangan ahli kelab, tetapi terkejut dengan kehadiran lebih 1,000 penonton yang memenuhi padang.
Tambahnya, pihak mereka bercadang untuk meneruskan aktiviti tersebut sekiranya ada perlawananmelibatkan Kedah tetapi tiada siaran langsung di televisyen. - Kedahnews.com