RAUB – Biarpun lebih 40 tahun berlalu, setiap detik perjalanan kalaupun bukan semua, namun episod yang telah merubah hidupnya masih segar dalam ingatannya.
Ibrahim Seman, 61, mungkin bukan seorang yang terkenal kerana beliau bukanlah artis, anggota politik, mahupun karakter tular dalam internet, namun beliau adalah antara warga emas yang berani dan bijak merancang hidup pada zaman mudanya.
Mesra dipanggil ‘abe’, Ibrahim yang ketika itu baharu berusia 18 tahun, hanya berbekalkan wang tunai sekitar RM10 sewaktu memulakan langkah pertamanya untuk berhijrah dari Bachok, Kelantan dengan niat mencari sesuap nasi.
Tetap selesa berkecek ‘Kelate’ ketika ditemui di Felda Krau 1, di sini, beliau sangat petah menceritakan setiap kisah sejarah hidupnya yang membawanya ke penempatan peneroka itu pada 1978, daerah yang dianggapnya sebagai ‘tempat bergantung’.
“Abe mula-mula keluar dari Kelantan ni ke Kuala Lipis dengan keretapi dari stesen Kuala Krai. Abe ingat lagi masa itu bertolak 4 pagi dan tiket RM7. Ikut kawan-kawanlah, sebab katanya peneroka di Felda Sungai Koyan di sana nak guna orang potong buah kelapa sawit.
“Masa itu potong buah, harga lebih kurang 5 sen setandan kelapa sawit, lepas tu lama-lama di sini, rasa macam ‘eh duduk sorang-sorang ini kenapa?’. Jadi mulalah cari jodoh pula, mula-mula tu potong buah dulu, lepas itu potong anak peneroka pula,” katanya berseloroh.
Selepas berkahwin dengan seorang anak peneroka Felda Sungai Koyan, Ibrahim berkata beliau merasa mula terpanggil untuk memohon mencuba nasib sebagai seorang peneroka Felda apabila melihat pelbagai faedah diperoleh peneroka sedia ada.
“Jadi abe mohon Felda Krau ini bila ia mula-mula buka. Felda ni juga abe pilih sebab ia Felda terakhir yang dibuka paling dekat dengan bandar (Raub). Jadi dekat sikit nak keluar beli barang pun, kalau nak balik Kelantan pun tak jauh mana dah.
“Alhamdulillah rezeki abe, bila mohon tu kita dapat, rasa lega sangat. Yalah siapa nak bagi kita percuma tanah 4.05 hektarkan? Tak ada negara mana pun ada buat macam ini,” katanya yang membesarkan kesemua empat cahaya matanya di Felda Krau 1 ini.
Baginya, Felda merupakan program kerajaan yang sangat sistematik dalam memberikan rakyatnya bukan sahaja sumber pendapatan tetapi tempat tinggal dengan fasiliti yang cukup baik, biarpun kebanyakan lokasinya jauh dari pusat bandar.
“Kalau duduk di kampung pun tak tentu ada rezeki macam ini lagi, tak tentu kita mampu nak ada tanah luas, nak ada rumah sendiri. Kita bukan nak bangga tetapi memang Felda ini tolong dan itulah keuntungan kita dan realitinya,” katanya.
Malah, Ibrahim berkata hasil daripada Felda juga tidak hanya terhad kepada beliau seorang, anak-anaknya dan generasi anak mereka seterusnya akan terus mewarisi apa yang diperolehnya sejak awal menyertai Felda.
“Tanah yang saya dapat ini, geran dah ada, hasil dah ada. Tak wajar kalau orang kita cagar dekat bank, yang untung bukan saya seorang, tapi semua dalam keluarga terjamin masa depan mereka, apa lagi yang kita nak,” katanya.
Di Felda itu, bukan beliau seorang yang datang dari negeri luar, malah ramai lagi peneroka yang berasal dari seluruh negara.
“Ramai berebut untuk menjadi peneroka kerana mereka tahu manfaatnya pada waktu itu. Dari Kelantan sahaja berapa ramai di sini, Kedah pun ada, Perak pun ada. Jadi semua berkumpul di sini, India dan Cina juga ada,” katanya.
Realitinya, kata Ibrahim Felda telah berjasa kepadanya dan ramai lagi generasi awal peneroka dalam menjamin masa depan mereka ke arah yang lebih cerah, justeru beliau berharap program itu dapat diperkembangkan lagi hari ini.
“Sekarang generasi peneroka ada yang dah masuk hingga generasi keempat. Maksudnya peneroka awal dulu dah ada cicit hari ini. Nasib mereka mungkin berlainan jika tidak menyertai program berkenaan sebelum ini, mungkin tak bekerja sampai hari ini, mungkin tak berduit macam hari ini.
“Jadi saya nampak, kalau kerajaan hendak bantu lagi rakyat miskin, program seperti ini adalah acuan yang baik. Terbukti semua yang dilaksanakan selama ini adalah yang terbaik dan perlu diteruskan,” katanya yang tinggal di sini bersama isteri, tiga anak serta seorang menantu, manakala seorang lagi anaknya berhijrah ke Kuala Lumpur.
Ibrahim yang menghidap penyakit kencing manis sejak 12 tahun lepas, kini tidak lagi menguruskan ladang kelapa sawit di tanah 10 ekarnya, tetapi menyerahkan urusan berkenaan kepada Felda dan hanya menerima bayaran daripada hasil diperolehi setiap bulan.
Beliau masih pulang ke kampung menziarahi ayahnya yang berusia 80 tahun yakin selepas projek lebuh raya Central Spine Road dari Bentong ke Kuala Krai dan projek Keretapi Pantai Timur menerusi Kerajaan Persekutuan siap, perjalanannya pulang ke kampung akan menjadi lebih mudah. – Bernama