SEBAGAI seorang pelakon serta penerbit yang popular di Malaysia, Datuk Rosyam Nor berharap kemunculannya dalam filem biografi Datuk Lee Chong Wei dapat menarik perhatian penonton berbangsa Cina.
Rosyam akan membawa watak bekas jaguh badminton negara, Datuk Misbun Sidek yang turut merupakan jurulatih Chong Wei dalam biografi arahan Teng Bee itu.
Sebelum ini, Rosyam pernah menjadi perhatian penonton berbangsa India apabila muncul melalui filem tamil berjudul Kabali.
“Semoga filem ini dapat menarik peminat Cina sebagaimana lakonan saya dalam filem Tamil, Kabali sebelum ini.
“Bukan itu saja, saya harap filem berkenaan dapat membawa penonton menyaksikan filem lain lakonan saya,” katanya memetik portal Harian Metro Online.
Dalam masa yang sama, pelakon yang telah menempa nama dalam industri lakonan negara sejak 36 tahun lalu itu teruja dengan naskhah berkenaan.
Menurut Rosyam, filem biografi itu bakal meninggalkan kesan dalam kerjaya seninya kerana ia akan ditempatkan dalam simpanan arkib negara.
Dalam pada itu, Rosyam turut mengakui bahawa dia terkilan tidak dapat berjumpa dengan Misbun sendiri sewaktu melakonkan watak anak sulung dari keluarga Sidek itu.
“Pada asalnya, memang saya merancang berjumpa Misbun untuk mengenalinya dengan lebih mendalam.
“Ralat memanglah ralat… Tapi saya faham dengan komitmen dan kesibukan Misbun.
“Keadaan dan masa tidak mengizinkan saya untuk berjumpa dan menyelami wataknya secara berdepan,” katanya dipetik daripada portal BH Online.
Disebabkan halangan tersebut, Rosyam mengambil inisiatif untuk melakukan sendiri kajian yang terperinci melalui internet serta turut bertemu beberapa individu yang mengenali Misbun bagi menjiwai watak yang dibawanya itu.
Ujar Rosyam, dia membesar dengan menyaksikan sendiri Misbun beraksi mewakili negara di gelanggang badminton dan tidak mempunyai masalah menerima tawaran berlakon sebagai Misbun.
“Cuma, saya perlu mencari maklumat tambahan di Internet serta menonton video untuk mengkaji cara beliau bekerja, percakapan dan perwatakan,” tambahnya.
Dia turut mendedahkan membuat sedikit penambahan kepada watak yang dilakonkannya itu bagi menjadikan ia lebih menarik dan berharap Misbun dapat memberi reaksi positif terhadap lakonannya itu.
“Saya berbesar hati diberi kepercayaan membawa watak individu penting yang bertanggungjawab mengembangkan sukan badminton negara.
“Diharapkan Misbun dapat menerima baik lakonan saya,” katanya.
Filem Lee Chong Wei, Menjulang Kejuaraan akan mula ditayangkan di pawagam pada 15 Mac ini. - Kedahnews.com