Sarjan Polis Dari Alor Setar Direman Bantu Siasatan Terima Suapan


ALOR SETAR – Seorang sarjan polis direman enam hari untuk membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima suapan sebanyak RM13,000 bagi menyelesaikan kes dadah pada 12 Feb lepas.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar Nor Azah Idris membenarkan anggota polis berumur 28 tahun dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar itu direman bermula hari ini hingga 28 Feb depan.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohamad dalam satu kenyataan hari ini berkata lelaki itu ditahan kira-kira 10.30 malam tadi di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – BERNAMA