Saya Bukan Pelat - Amelia Henderson


KUALA LUMPUR: Berwajah 'Mat Salih', pelakon dan model berdarah campuran India dan Scotland, Amelia Henderson kecewa apabila masih ada pihak meragui kemampuannya menguasai Bahasa Melayu.

Gadis berusia 22 tahun itu menganggap dirinya mangsa salah faham kerana masih ada yang berfikir bukan-bukan, sedangkan dia hanyalah rakyat biasa yang senang dengan rutin dan gaya hidup di negara ini.

"Diakui masih ada yang skeptikal apabila saya berwajah 'Mat Salih'. Orang fikir saya cakap pelat... Sebenarnya, saya boleh bertutur Bahasa Melayu kerana saya bersekolah biasa dan ada ramai kawan-kawan Melayu.

"Kalau berlakon, saya okay saja untuk berdialog dalam Bahasa Melayu mengikut skrip," katanya kepada BH Online.

Amelia berkata, pada usia muda, dia mahu mencuba pelbagai bidang termasuk pengacaraan.

"Biar susah dan bergelut pada usia muda. Jadi, saya dapat bersara awal dan tak perlu kerja keras pada usia tua," katanya yang masih menanti tawaran membintangi filem.

Mengenai dunia kerjaya lakonan, Amelia memberitahu, dia kembali aktif menghangatkan pentas seni.

Ketika ini, Amelia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama Pengantin 100 Hari arahan Amor Rizan berganding dengan Aiman Hakim Ridza bagi slot Lestary siaran TV3.

"Pertama kali bergandingan dengan Aiman, dia sangat menyenangkan... Dia pun sangat peramah," katanya.

Sumber: BH