Saya Tak Kecil Hati Walaupun Tak jadi MB - Ahmad Bashah



Ahmad Bashah Md Hanipah tidak berkecil hati kerana tidak dilantik sebagai Menteri Besar walaupun beliau menjadi 'kepala perang' dan orang kanan dalam UMNO Kedah dalam menawan semula negeri pengeluar beras  itu  daripada pembangkang pada pilihan raya umum 2013.


Sebaik sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan nama Datuk Seri Mukhriz Mahathir dua hari sebelum tarikh pengundian, beliau tidak perduli dengan 'pelantikan Mukhriz' itu sebaliknya bekerja lebih keras untuk 'merampas' semula Kedah daripada PAS.


Kalau ikut 'protokol' sepatutnya Ahmad Bashah selaku Pengerusi UMNO negeri/BN, beliau sepatutnya berada di posisi ketua kerajaan negeri berbanding Mukhriz yang  masih baharu dalam politik di Kedah.


"Bukan rezeki saya bila tak jadi MB Kedah (ketika itu), yang utama kita usaha untuk  tebus balik kekalahan pada 2008.


Saya tak pernah kecewa dan kecil hati. Itu hak perdana menteri, saya orang parti, bila parti buat keputusan saya terima...." kata Ahmad Bashah pada temubual khas dengan Bernama.



Malah jawatan Pengerusi Perhubungan UMNO/BN negeri juga diserahkan kepada Mukhriz selaku Menteri Besar. 


Itulah Ahmad Bashah, selepas menang beliau 'tidak menuntut' jasanya dibalas dengan jawatan Menteri Besar.


Pengalaman Ahmad Bashah boleh bersabar dan 'relax' walaupun tidak diberikan kedudukan isitmewa seharusnya dikongsi oleh calon dan bakal calon BN akan datang.  


"Anggota parti jangan harap kita boleh dapat sesuatu, tapi kalau kita berjuang bermakna  kita adalah orang yang berjuang untuk parti...jangan sabotaj kalau tak dapat apa-apa (jawatan atau jadi calon), " pesan Ahmad  Bashah.


Apa yang penting, ujar Ahmad Bashah ialah ambil balik kuasa itu, iaitu memenangkan kembali Kedah daripada PASdan pada PRU14ini BN perlu dipertahankan di Kedah .


 "Perpaduan dalam kalangan kita penting, kalau wujud perasaan bila tak jadi calon nak bagi parti kalah, kalau ada sentimen macam tu dia bukan pejuang tapi dia adalah pengkhianat parti," katanya.


Kita orang parti, kita usaha, kalau dah kita dipilih Alhamdulillah..., kalau tidak dipilih mungkin ada peluang lain, bukan semestinya jadi wakil rakyat. 


Kalau kita ambil tindakan yang nak puaskan hati kita, makna kata kita bunuh diri bukan orang lain bunuh kita. Jangan ada sikap seumpama itu  itu dalam parti,'' katanya.


Ingatan Ahmad Bashah dibuat berkemungkinan akan wujud unsur-unjsur sabotaj apabila seseorang yang mengharapkan menjadi calon tidak terpilih atau tidak dicalonkan semula. 


Beliau sudah tentu tidak mahu kekalahan pada PRU 2008 berulang semula yang antara puncanya juga berlaku pergolakan dalam parti di setengah kawasan.


Bagaimanapun kemenangan Kedah itu pada PRU13 juga membolehkan Mukhriz mendapat atau merasai 'nikmat' kenduduk kerusi Menteri Besar.


Semua orang dapat rasai hasil kemenangan parti dan apabila BN dapat menubuhkan kerajaan. - Kedahnews.com.