“Saya Tidak Tercabar Pun” – Aliff Balas Teguran Amyza


SEBAGAIMANA ramai maklum, usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri baru sahaja muncul dengan filem pertamanya bertajuk Badang yang kini ‘hangat’ ditayangkan di pawagam tempatan.

Ramai berpendapat tiada apa yang boleh dibanggakan mengenai filem berkenaan selain dilihat menerima teguran hebat daripada pelbagai pihak termasuk pelakon, Amyza Aznan.

Meskipun begitu, Aliff yang mengakui tidak mudah melatah dengan provokasi berkenaan dan dilihat ‘membalas’ teguran pelakon wanita itu dengan tenang.

Menurut Aliff, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau telah mengganggu periuk nasi para penggiat seni adalah tidak berasas sama sekali.

Aliff  berkata, beliau tidak pernah pula rasa tercabar mahupun mendakwa periuk nasi diganggu apabila terdapat penggiat seni yang menceburi dalam bidang perniagaan kosmetik sama seperti diusahakan olehnya.

Sebaliknya,  beliau lebih berpegang pada konsep rezeki Allah itu luas dan setiap manusia ada bahagian masing-masing.

“Saya tidak pernah pula mengeluarkan kenyataan apabila ada artis menceburi bidang kosmetik. 

“Saya seorang yang profesional dan boleh bekerjasama dengan ramai selebriti antaranya Rozita Che Wan, Wak Doyok dan Fasha Sandha dalam bidang yang sama.

“Tidak pernah pula saya merasakan mereka mengganggu periuk nasi saya! Saya percaya rezeki Allah itu luas,” katanya dipetik laporan mStar Online.

Dalam pada itu, Aliff berkata seseorang itu boleh anggap dirinya ganggu periuk nasi orang lain sekiranya beliau membayar pihak produksi agar menggugurkan nama mereka untuk memberi laluan kepadanya untuk berlakon.


Namun, hakikatnya tidak begitu tetapi pihak produksi yang datang menawarkan watak adiwira tersebut kepada Aliff meskipun beliau sudah menjelaskan bahawa dirinya tidak mahir dalam lakonan.

Aliff berkata demikian bagi mengulas komen Amyza menegur Aliff agar tidak memperguna industri sebagai medium untuk memperluaskan empayar perniagaan selain berpendapat usahawan itu tiada bakat dalam bidang seni.

Tambah Aliff, sekiranya terdapat lagi artis yang gelar dirinya sebagai sampah dan mendakwa ganggu periuk nasi orang, beliau lebih selesa ambil pendekatan mengunci mulut sahaja selain akui enggan melayan perkara berkenaan.

Badang merupakan filem terbaru arahan Datuk Profesor Dr. A. Razak Mohaideen yang mengangkat nama Aliff di dalam industri perfileman.

Selain Aliff, filem terbitan FiTA Studios Sdn Bhd itu turut dibintangi oleh pelakon lain seperti Fasha Sandha.  - Kedahnews.com