SEPANG - Menerima sebotol air mineral 500ml sebagai tanda terima kasih daripada seorang bapa dan menyambut kelahiran sepasang bayi kembar lelaki merupakan antara pengalaman menyentuh hati yang dilalui pasukan ketiga petugas Kementerian Kesihatan di Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar, Bangladesh.
Ketua pasukannya, Dr Khairi Kassim berkata, sebotol air mineral berkenaan diberikan oleh seorang bapa daripada masyarakat etnik Rohingya selepas seorang pakar bedah Malaysia berjaya membedah anak lelakinya berusia tujuh tahun yang menghadapi masalah hernia bulan lepas.
"Bapa berkenaan berkata kepada pakar bedah tersebut, doktor terimalah air mineral ini sebagai tanda terima kasih dari saya. Saya tidak mampu untuk memberi hadiah lain.
"Pengalaman ini meningkatkan semangat petugas Hospital Medan Malaysia untuk memberikan khidmat lebih baik kepada masyarakat Rohingya," katanya kepada pemberita selepas tiba dari Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Dr Khairi, yang juga Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Shah Alam, berkata masyarakat Rohingya sedih dan menangis ketika dimaklumkan bahawa mandat operasi Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar adalah selama tiga bulan sehingga 16 Feb.
Ini kerana masyarakat Rohingya sangat bergantung kepada Hospital Medan Malaysia kerana mereka sukar untuk mendapatkan kemudahan rawatan di fasiliti kesihatan Bangladesh, katanya.
Dr Khairi berkata, beliau berharap dapat berkhidmat lagi di Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar jika diberikan peluang.
"Hospital Medan Malaysia menjadi rujukan banyak pihak kerana kemampuan untuk memberi rawatan terbaik. Sebagai rakyat Malaysia saya sangat bangga," katanya.
Sementara itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Keningau, Dr Siti Aishah Tajudin berkata, pada 13 Feb lepas beliau menyambut kelahiran sepasang bayi kembar lelaki dengan salah seorang berada dalam keadaan melintang.
"Bayi tersebut masing-masing seberat 1.8kg dan 2.1kg merupakan anak kepada pasangan Bangladesh. Pada mulanya pasukan perubatan memaklumkan kelahiran perlu dijalankan secara pembedahan. Namun ia tidak dipersetujui oleh bapa bayi itu. Dalam masa kurang empat jam pasukan perubatan berusaha untuk menolak kepala bayi tersebut sehingga selamat dilahirkan secara normal," katanya.
Hospital Medan Malaysia yang diselaraskan oleh Kementerian Kesihatan dengan sokongan Angkatan Tentera Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan pertubuhan bukan kerajaan pada awalnya diberikan mandat untuk beroperasi dari 1 Dis 2017 hingga 16 Feb 2018.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, yang menyambut kepulangan petugas perubatan itu, berkata hospital berkenaan akan beroperasi sehingga penghujung tahun ini.- BERNAMA