Selamba Buang Kari Kenduri Kahwin Ke Sungai Singapura


SINGAPURA – Malu dengan apa yang berlaku, pihak berkuasa tempatan dilaporkan sedang giat menyiasat insiden cecair kari pekat yang didakwa berjaya ‘dituang’ ke dalam Sungai Tampines.

Berita cukup aib itu didedahkan oleh seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Shirley Lc Tan dengan memuat naik gambar memaparkan larutan berwarna perang kemerah-merahan dibuang terus ke dalam sungai itu.

Netizen tempatan berkenaan turut menulis bahawa insiden itu disebabkan oleh tindakan katerer dari sebuah majlis perkahwinan di blok 408 Pasir Ris yang selamba menuang lebihan kuah masakan tersebut ke dalam sungai terbabit.

Shirley seterusnya mendakwa, sungai itu amat terkenal dalam kalangan penduduk dengan kehidupan biawak kecil yang lazim dirujuk sebagai monitor lizard selain dihuni beberapa kumpulan keluarga memerang comel domestik.

Catatan berkenaan yang kemudian dikongsikan ribuan kali oleh ramai pengguna media sosial bagaimanapun sudah dipadamkan sekali gus mencetuskan misteri mengenai kejadian aneh amat memalukan warga republik tersebut.


Menjawab pertanyaan agensi berita tempatan MediaCorp, pihak Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menyatakan pada Isnin bahawa mereka sudah menerima aduan tentang “bahan seperti kari” yang dituang ke dalam sungai itu.

Lembaga Utiliti Awam (PUB) yang mengawal selia sistem perparitan di seluruh Singapura turut menerima aduan sama dan kedua-dua agensi berkenaan bergegas ‘turun’ ke tempat kejadian bagi menilai kesahihan kes terbabit.

Beberapa penduduk pula mendakwa dapat menyaksikan sekumpulan memerang sempat ‘menyelamatkan’ diri ketika cecair itu dibuang dan kes tersebut mengaibkan Singapura yang terkenal disiplin tinggi terutama aspek kebersihan.

Stesen penyiaran milik pemerintah, Channel NewsAsia melaporkan, pegawai NEA dan PUB sedang menyiasat kes yang didakwa tular hangat diperkatakan melalui laman media sosial tempatan itu. - Kedahnews.com