KEKAL… Masyarakat antarabangsa kelmarin menyambut baik pemansuhan kehadiran gadis litar atau grid girl yang seksi sebagai pengiring setiap perlumbaan Formula 1 (F1) mulai musim 2018.
Malahan, langkah pemilik baharu penganjuran perlumbaan kereta berprestij tersebut, Liberty Media berpusat di Amerika Syarikat menghentikan amalan khidmat itu turut disokong oleh pelbagai badan wanita antarabangsa.
Bagaimanapun lain dengan F1, pengelola perlumbaan motosikal dunia, MotoGP tidak mengikut usaha tersebut sekali gus melegakan golongan lelaki ‘gatal’ untuk menyaksikan keindahan susuk jelita wanita terbabit di litar.
Berita gembira berkenaan disahkan Carmeleo Ezpeleta, Ketua Pegawai Eksekutif Dorna Sports yang menegaskan bahawa setiap perlumbaan MotoGP tetap ada gadis berpayung sebagai penghias seri sepanjang musim 2018 ini.
“Kami tidak akan ikut jejak F1,” kata beliau dipetik laman berita antarabangsa Crash.net pada hari ini. Dorna Sports berpusat di Sepanyol dan ditubuhkan sejak 1998 ketika ini menyelia 18 perlumbaan litar motosikal di 15 negara.
Ezpeleta namun tidak pula menjelaskan secara terperinci apakah alasan masih lagi membenarkan amalan ‘kuno’ eksploitasi gadis itu. Beliau hanya memastikan bahawa kehadiran gadis litar cukup penting pada sesuatu arena.
Perlu diketahui, wanita pengiring itu sendiri lazimnya selalu menemani pelumba di sisi motosikal sambil memegang payung sebelum bermula perlumbaaan. Kehadiran mereka itu menjadi penyeri terutama untuk penonton lelaki.
Di samping pakaian unik, penampilan gadis payung berbeza-beza antara setiap litar mengikut budaya setempat dan kemunculan mereka dalam gaya seksi menghilangkan bosan sebelum perlumbaan. - Kedahnews.com