CANGGIH! Teknologi masa depan yang menakjubkan muncul lagi, kali ini sangat sesuai untuk semua yang malas susun kasut sendiri.
Sebuah pusat penginapan tradisional Jepun atau ryokan baru di Jepun telah dibuka dengan menawarkan pelanggan bilik yang mengandungi teknologi selipar yang bergerak sendiri.
ProPilot Park Ryokan menggabungkan layanan tradisional Jepun beserta teknologi syarikat automobil terkenal, Nissan yang dilengkapi dengan sensor berteknologi tinggi dan kamera yang membolehkan kereta diparking secara automatik tanpa menggunakan tenaga pemandu.
Menggunakan teknologi ini, selipar yang terdapat di hotel tersebut mempunyai fungsi sama seperti kenderaan keluaran Nissan yang membolehkan ianya bergerak hanya dengan menekan satu butang.
Mula diperkenalkan ketika pelancaran kereta Nissan Leaf pada Oktober 2017, sistem ProPilot Park ini berfungsi menggunakan empat kamera resolusi tinggi yang mampu memproseskan imej serta 12 sensor sonar diletakkan di sekitar kenderaan untuk menilai persekitaran.
“Pemacu untuk mengaktifkan teknologi boleh dilakukan dengan menekan butang. Butang mesti ditekan sepanjang masa (jika tidak kenderaan akan berhenti), tidak seperti ‘Tesla Model S.’ yang berkonsep hands-free. Pemandu juga boleh menekan brek jika perlu,” jelas Nissan berkenaan sistem tersebut.
Selain selipar, teknologi ini juga diletakkan ke dalam kusyen lantai dan meja rendah tradisional yang sinonim dengan budaya Jepun supaya perabot berkenaan mampu tersusun sendiri dan dalam masa sama mengurangkan beban kakitangan hotel tersebut.
Teknologi moden ini boleh mula digunakan sekitar bulan Mac ini dan pasti akan menarik perhatian orang ramai untuk mengalami ‘pengalaman’ baru tersebut.
“Selipar dicipta bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai teknologi pandu sendiri/automatik,” kata Nick Maxfield, jurucakap Nissan.
Projek ini seiring dengan rancangan Nissan untuk memperkenalkan kereta pandu sendiri menjelang tahun 2020. - Kedahnews.com