Seorang Anak Pesara Layak Miliki PPA1M


PUTRAJAYA - Hanya seorang saja daripada anak setiap pesara kerajaan layak untuk membeli rumah mampu milik di bawah Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata permohonan untuk PPA1M untuk anak pesara sama ada yang bekerja dengan kerajaan atau swasta sudah pun dibuka sejak diumumkan bulan lalu, dan pihaknya sudah pun menerima sejumlah permohonan.

"Mereka boleh memilih unit rumah PPA1M yang berharga antara RM150,000 dan RM300,000 serta perlu mendapat kelulusan pinjaman bank.

"Kebanyakan unit rumah ini permintaannya melebihi tawaran, jadi kita akan membuat pengundian," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan hadiah pada Pertandingan Boling Piala Ketua Setiausaha Negara dan Pertandingan Badminton Piala Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) di sini, semalam.

Yang turut hadir, Yang Dipertua PUSPANITA, Puan Sri Rohani Abdullah.

Pada bulan lalu, Ali memaklumkan anak pesara kerajaan berpeluang untuk memiliki rumah PPA1M.

Sebelum ini, syarat PPA1M hanya terbuka kepada penjawat awam daripada semua gred jawatan, berpenden dan kontrak.

Selain itu, Ali berkata, projek PPA1M berdekatan Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2) akan siap dalam tempoh satu atau dua bulan lagi dan majlis penyerahan kunci dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengenai Piala PUSPANITA, beliau berkata, pertandingan yang diadakan secara tahunan itu bukan saja mampu mencungkil bakat baharu dalam bidang sukan, malah menjadi platform terbaik untuk penjawat awam seluruh negara berhubung serta mengekalkan hubungan baik sesama mereka.

"Kemenangan bukanlah objektif utama yang dikejar tetapi semangat kesukanan dan ikatan persaudaraan yang terjalin daripada program ini amat penting untuk mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan bersama.

"Saya juga melihat program ini mampu membuka ruang kepada mana-mana pihak menjalin kerjasama strategik bersama PUSPANITA pada masa akan datang," katanya.

Lebih 700 penjawat awam menyertai pertandingan berkenaan yang diadakan sejak Rabu lalu.

Sumber: BH Online