BESUT- Ratusan pesakit yang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan daripada seorang pengamal perubatan alternatif (perubatan Islam) yang dikenali Ustaz Jin tergamam apabila tiba-tiba ustaz itu memegang sebilah pisau dan besi yang didakwa dikeluarkan daripada badan seorang pesakit yang sedang mendapatkan rawatannya.
Kejadian itu disaksikan ratusan mata yang berada di sekeliling tempat Ustaz Jin atau nama sebenarnya, Norazman Al-Banjari, 47, menjalankan rawatan secara terbuka di Dewan Terbuka Dataran Limbongan dekat Kampung Raja, di sini.
Menurut Norazman, kejadian itu langsung tidak masuk akal namun itulah hakikat yang membuktikan dalam dunia moden hari ini masih lagi ada orang yang menggunakan sihir untuk menyakiti orang lain atau mencapai hajat mereka.
“Dalam kes ini, wanita berusia 20-an daripada Kemaman itu yang menderita sakit lebih lapan tahun lalu kerana perbuatan sihir dipercayai dilakukan lelaki yang marah apabila cintanya ditolak oleh pesakit.
“Marah akibat cintanya ditolak menyebabkan lelaki itu berdendam lalu menggunakan khidmat orang tertentu supaya menyihir wanita terbabit dengan cara memasukkan pisau dan besi cangkut ke dalam badan wanita itu secara sihir supaya wanita itu jatuh sakit,” katanya ketika menjalankan rawatan dewan tersebut.
Norazman berkata, wanita berkenaan mengalami masalah perut membuncit seperti wanita mengandung setiap malam bagaimanapun pemeriksaan secara moden tidak dapat mengenalpasti masalah wanita itu di samping mencuba rawatan alternatif lain.
Menurutnya, ketika menjalani rawatan di sini, dia menangis mengadu kesakitan dan selepas dibaca dengan ayat al Quran akhirnya keluar bukan sahaja sebilah pisau dapur tetapi dua besi yang diikat dengan benang putih melalui kemaluannya.
“Ini adalah salah satu kes masalah sihir yang dihadapi ratusan pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan di sini setiap malam termasuk satu kejadian lagi keluar satu berus periuk dan 100 batang paku daripada badan seorang wanita berusia 25 tahun dari Besut pada malam pertama saya membuat rawatan di sini,” katanya.
Norazman yang berasal dari Melaka berkata lagi, tujuan dia membuat rawatan di tempat terbuka antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa masalah sihir masih terjadi dalam masyarakat hari ini seterusnya mendidik orang ramai supaya mempunyai ilmu untuk menghindar diri daripada gangguan jin, sihir, ilmu hitam dan sebagaimananya.
Tinjauan Sinar Harian di dewan tersebut mendapati terdapat lebih 300 orang sedang menunggu giliran masing-masing untuk mendapatkan rawatan daripada Norazman bermula jam 9 malan kemudian akan berlarutan sehingga Subuh.
Sepanjang berada hampir selama satu jam di situ, pelbagai ragam pesakit dapat dilihat seperti ada yang menjerit, meraung, meronta dan sebagainya.
Walaupun terpaksa menunggu beberapa jam sehingga 6.30 pagi tetapi orang ramai sanggup menunggu demi menjalani rawatan terutamanya berkaitan sihir, gangguan jin, saka dan masalah lain dengan Ustaz Jin.
Kata Norazman, kaedah rawatan yang digunakannya hanya menggunakan ayat al Quran seperti membaca surah al-Fatihah, ayatul Qursi dan tiga Qul namun dengan kaedah yang betul.
“Niat saya hanya untuk bantu masyarakat kerana jika terkena gangguan ghaib bukan sahaja pesakit menderita sebaliknya ahli keluarga lain menanggung sama yang boleh membawa masalah sampingan lain seperti sakit, perceraian, benci, perniagaan terjejas. Apabila tolong orang, Insya-ALLAH ada jalan rezeki lain ALLAH SWT beri,” katanya.
Menurutnya, merawat gangguan akibat makhluk halus tidak mudah hilang sekelip mata sebaliknya pesakit disyorkan mendapatkan rawatan daripadanya sebanyak tujuh kali.
“Ilmu perubatan yang saya amalkan merupakan warisan nenek moyang dan menjadi prinsip saya untuk menentang perkara tahyul atau cara yang boleh mendatangkan syirik,” katanya yang membuat rawatan secara bergerak di seluruh negara.
Katanya lagi, pesakit yang datang tidak terhad dari Besut sahaja tetapi dari serata tempat di seluruh negara kerana mereka ini sering mengikuti saya menerusi laman sosial Facebook saya,” katanya yang dibantu lima sukarelawan termasuk anak perempuannya, Nur Diniy, 20.
Tidak menafikan ada tohmahan dan fitnah yang dibuat segelintir masyarakat terhadap kaedah rawatan diamalkannya, tetapi ia tidak menjejaskannya kerana niatnya untuk membantu orang dan yakin kepada ALLAH SWT.
“Bila melihat pesakit sembuh, saya rasa amat gembira serta bersyukur dan jangan lupa kita yakin bahawa yang menyembuhkan adalah ALLAH SWT,” katanya.
Norazman berkata, sesi rawatan di Besut bermula sejak 20 Januari lalu sebelum berakhir pada Sabtu lepas namun disebabkan permintaan ramai menyebabkan rawatannya disambung semula bermula esok sehingga 22 Februari ini di lokasi dan waktu yang sama.
Menurutnya, dia kasihan kerana ramai yang datang tidak sempat mendapatkan rawatan daripadanya kerana terlalu ramai orang walaupun waktu rawatan berterusan sehingga Subuh menyebabkan dia terpaksa meneruskan rawatan di situ untuk tempoh dua minggu lagi.
Sumber : Sinar