SPRM Kedah Komited Bersih Sektor Kritikal


BALING  - Dengan slogan Hang Sua, Cheq Lapoq (anda bagi, saya lapor), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri komited untuk membersihkan sektor kritikal daripada jenayah itu dalam tempoh tiga tahun ini.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, tujuan utama kempen itu adalah untuk mendidik penjawat awam supaya menolak sama sekali sebarang bentuk tawaran atau pemberian rasuah.

“Antara sektor yang menjadi sasarannya ialah sektor perkhidmatan awam seperti agensi penguat kuasa, badan kawal selia, pihak berkuasa tempatan (PBT), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta seperti institusi kewangan dan perbankan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Gerakan Me­merangi Pemberi Rasuah (Gempur) di Dewan Sri Baling Inn, di sini kelmarin.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Baling, Datuk Md. Shuhaimie Abdul Rahman.

Menurutnya, bagi membersih­kan perkhidmatan awam, tiga bidang kritikal yang diberi fokus ialah penguatkuasaan, perolehan dan pelesenan.

“SPRM menjadi agensi yang mesra rakyat dan dalam masa sama digeruni perasuah kerana penguatkuasaan yang agresif menyebabkan mereka merasa gentar,” katanya.

Menurutnya, untuk menjadi agensi mesra rakyat, SPRM turut melaksanakan pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan antaranya aktiviti Gerah (Gerakan Revolusi Anti Rasuah) yang dilancarkan pada Mei tahun lalu.

“Gerah kali ini memberi fokus kepada PBT dengan menggerakkan pegawai SPRM turun padang bertemu dan beramah mesra dengan pegawai dan kakitangan PBT.

“Ini kerana PBT mempunyai hubungan rapat dengan pendu­duk, namun sering kali menerima persepsi kurang baik termasuk terlibat dengan jenayah rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Katanya, Gempur juga merupakan pelengkap kepada Kempen 3J iaitu Jangan Hulur, Jangan Kawtim dan Jangan Settle serta ia memberi fokus kepada orang awam.

“Kempen ini juga selaras de­ngan peruntukan Seksyen 25 Akta SPRM 2000 yang mewajibkan mana-mana pihak melaporkan tawaran atau pemberian rasuah kepada SPRM,” katanya.

Sumber - Utusan