KUALA LUMPUR - Pelbagai kontroversi dan spekulasi yang selama ini dilontarkan ke wajah aktor terkenal Datuk Farid Kamil bakal terbongkar dan dikupas pada sidang media esok.
Menurut sumber terdekat, Farid yang disifatkan sebagai seseorang yang jarang bersuara kini bersedia untuk menjawab apa sahaja persoalan terhadap isu yang menghambat dirinya.
Terdahulu, hero Lagenda Budak Setan itu pernah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes menampar polis dan menendang dua orang awam di Balai Polis Kota Damansara.
Dia didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya namun mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan iaitu menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam.
Pada 17 Februari lalu, dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM12,000 dan kes dibicarakan pada 5 Mac nanti.
Farid sekali lagi dihadapkan ke mahkamah pada 25 Februari lalu atas pertuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis tetra hydrocannabinol atau THC.
Pada 4 Februari, Farid membuat laporan polis menyatakan dirinya telah dianiaya oleh tiga orang rakan artis yang dikatakan mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga mendorongnya berkelakuan ganas.
Beberapa hari selepas itu, seorang pelakon Sofi Jikan ditahan bagi membantu siasatan selepas dia didapati positif dadah jenis ganja sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi netizen.
Sofi bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis tiga hari selepas penahanannya.
Pada 11 Februari, penyanyi yang juga pengarah dan penerbit pengiklanan, Ahmad Fairuz Ahmad Rosli, telah tampil memberi keterangan di Balai Polis namun tiada penahanan dibuat.
Pada 20 Februari, penyanyi kumpulan Innuendo, Ahmad Tajuddin atau Taj telah tampil ke balai polis bersama penguamnya namun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Sumber: Awani