Sudah Terlambat Bagi Abdul Salam – Jurulatih


KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad tinju negara, Azmi Md Yunus berasa agak terlambat bagi Abdul Salam Kasim untuk mempersiapkan dirinya ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018, di Australia bermula pada 4 hingga 15 April ini.

Dengan status masih belum diketahui sama ada peninju berusia 22 tahun menyertai skuad negara atau tidak, Azmi berkata beliau lebih rela ‘melepaskan’ peninju yang layak dalam kategori flyweight 52kg itu.

Ia kerana kekurangan masa untuk mempersiapkan peninju itu, yang sedang berusaha untuk menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dengan hanya tinggal kurang daripada dua bulan untuk temasya berkenaan

“Saya tak kecewa, lebih rela lepaskan dia demi masa depannya…kerana dalam sukan ini atlet diberikan kontrak berdasarkan kejohanan. Bila dah habis kontrak selepas pertandingan, mereka keluar nanti tak ada pekerjaan.

“Komanwel dah dekat, kalau berat badan dah naik dan kehilangan momentum, saya pun akan hadapi masalah untuk menyediakannya. Sekarang ini kita dah masuk fasa prapertandingan, jika beliau mahu menyertai, beliau perlu menjalani ujian kecergasan dengan Institut Sukan Negara (ISN) terlebih dahulu sebelum saya menerimanya

“Kalau prestasi tak bagus nanti, saya pula yang akan disoal,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Chef-de-Mission (CDM) Sukan Komanwel negara, Huang Ying How ke sesi latihan skuad hoki wanita, tinju dan olahraga para di sini, pada Rabu.

Azmi berkata peluang masih terbuka kepada Abdul Salam untuk menyertai kejohanan lain, termasuk Sukan Asia di Jakarta dan Palembang pada Ogos ini.

Ketiadaan Abdul Salam dalam kem latihan, turut menyebabkan seorang lagi peninju negara yang layak ke Gold Coast, Mohd Fuad Mohd Redzuan bagi kategori light fly (49kg), terpaksa berlatih dengan peninju pelapis yang tidak dapat memberikan saingan kepada pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu.

Mohd Fuad yang menjadi harapan besar untuk menamatkan kemarau pingat 16 tahun skuad tinju negara di Sukan Komanwel, dijangka akan berlatih di luar negara untuk mendapatkan rakan sepelatih (sparring partner) yang lebih baik daripadanya.

“Fuad nampak agak rendah semangat apabila berlatih dengan pelapis kerana ia seumpama berlatih dengan adik, mereka tidak boleh menandingi Fuad. Kita perlukan peninju yang lebih baik daripada Fuad untuk memberikan beliau tekanan dan saya boleh tahu apa kelemahan dia dan apa yang boleh diperbaiki.

“Sebelum ini kami merancang untuk ke Kazakhstan, tetapi cuaca di sana mencapai -10 Celsius masa ini, kurang sesuai untuk peninju kita. Apa pun, saya serah kepada Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) untuk buat keputusan kerana mereka lebih arif,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat dalam sukan tinju ialah pada edisi 2002 di Manchester melalui Zamzai Azizi Mohamad yang meraih gangsa, manakala pencapaian terbaik adalah milik Sapok Biki, yang memenangi emas kategori light fly (48kg) pada temasya 1998 di Kuala Lumpur.  – Bernama