ALOR SETAR - Keunikan serta kecantikan semulajadi sungai biru ataupun dikenali sebagai 'Blue Lagoon' yang terletak berdekatan Gunung Keriang, di Alor Setar, kini menjadi tumpuan utama orang ramai sejak akhir-akhir ini.
Semenjak ia menjadi tular di laman sosial beberapa hari lalu, kadar bilangan pengunjung termasuklah orang luar dilihat semakin bertambah dan mahu melawati sendiri keindahan sungai biru itu.
Penduduk, Fatin Nur Faqilah Othman, 21, berkata, sungai itu sebenarnya telah lama, namun dia mula menyedari kewujudan sungai biru sejak Disember tahun lepas sebelum ianya tular.
"Hampir setiap hari, saya mengunjungi kawasan sungai biru untuk mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti memancing ikan tilapia.
"Boleh dikatakan, saya antara orang terawal memuat naik gambar keindahan dan aktiviti dilakukan di sungai biru di laman sosial Facebook, tetapi ramai tidak percaya dan menuduh saya menipu," katanya.
Namun begitu, kenyataan sebenar terbongkar apabila orang ramai melihat sendiri panorama menakjubkan itu.
Lama-kelamaan bilangan pengunjung makin ramai untuk merakamkan gambar panorama sungai biru sehingga ia menjadi tular, awal Februari lalu. - Kedahnews.com