KUALA LUMPUR - Lebih separuh daripada kes kematian akibat lemas di negara ini dalam tempoh dua tahun berturut-turut sejak 2016 serta mulai awal tahun ini, dicatatkan di sungai dan tali air.
Perangkaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan daripada keseluruhan 652 kematian akibat lemas dalam tempoh berkenaan, 55 peratus adalah di dua lokasi berkenaan.
Malah sejak 1 Januari tahun ini hingga 20 Februari lalu saja, dua 'lubuk' tragedi berkenaan sudah mengorbankan 42 daripada keseluruhan 65 mangsa.
Timbalan Ketua Pengarah JBPM (Operasi), Datuk Soiman Jahid, berkata 359 kematian dicatatkan akibat lemas di sungai dan tali air, iaitu 141 kes pada 2016, diikuti 176 pada 2017 dan 42 kes sejak 1 Januari lalu termasuk 15 kematian akibat fenomena kepala air.
Taburan hujan tinggi
"Bagi kematian akibat lemas di laut pula, 157 kematian dicatatkan, selain 81 lagi akibat lemas di tasik dan lombong, 47 kes lemas di air terjun dan jeram serta lapan lagi akibat lemas dalam pembetung," katanya pada temubual eksklusif bersama BH dan NST.
Soiman berkata, kebanyakan kes lemas antara November hingga Februari kerana sesetengah kawasan menerima taburan hujan agak tinggi.
"Ia menyebabkan paras air sungai meningkat, arus deras sehingga cetuskan kepala air," katanya.
Katanya, Negeri Sembilan mencatatkan kes lemas tertinggi akibat kepala air dengan 42 mangsa maut sejak 2016 termasuk enam sejak awal tahun ini, diikuti Selangor (27), Kuala Lumpur (sembilan), Terengganu (enam), Kedah (empat), Kelantan (tiga), serta masing-masing satu kematian di Perak dan Putrajaya.
Rancang aktiviti
Beliau berkata, kepala air boleh dikesan melalui beberapa tanda awal, antaranya perubahan warna air daripada jernih kepada gelap atau kehitaman, aliran air tenang bertukar deras selain sampah-sarap berkumpul di satu tempat.
"Langkah pertama merancang aktiviti di air adalah mengetahui ramalan cuaca, bawa peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan, tali dan pelampung dan kenal pasti kawasan dikunjungi berisiko atau tidak," katanya.
Beliau berkata, kes lemas membabitkan banyak kematian biasanya disebabkan individu yang cuba membantu mangsa, tidak tahu teknik menyelamat atau gagal menyelamatkan diri kerana dipeluk erat individu cuba diselamatkan.
Sumber: BH Online