Tak Salah Lancar Tudung Dalam Kelab Tapi Berdosa Jika Undang Fitnah - Ustaz


LANGKAH selebriti Neelofa melancarkan koleksi hijab terbaharunya, Be Lofa di kelab malam, tidak menyalahi peraturan Islam jika tujuannya untuk berdakwah namun ia menjadi dosa jika mengundang fitnah.

Menurut pendakwah dan penulis buku, Ustaz Pahrol Mohamad berkata, sesuatu dakwah itu boleh dilakukan di mana-mana sahaja walaupun ia di tempat seperti kelab malam.

Namun ujarnya, sesebuah majlis yang baik itu menjadi haram hukumnya jika ia disertakan dengan tari-menari kerana perbuatan itu ditegah oleh Islam.

"Secara umumnya, mengikut asas prinsip dalam Islam tidak salah jika seseorang itu mahu mempromosikan atau melancarkan produk di kelab malam. 

"Dalam sejarah Islam juga ada mengisahkan tentang pendakwah yang pernah masuk ke tempat tersebut dengan tujuan berdakwah hanya untuk 5 hingga ke 10 minit dan kemudian dia keluar.

"Sebagai contoh, Neelofa boleh lancarkan tudung di kelab malam dan jelaskan kebaikan memakai tudung tapi hanya sekadar itu sahaja," kata Pahrol kepada mStar Online.

Bagaimanapun, kata Pahrol, yang menjadi haram apabila acara atau majlis tersebut disertakan dengan elemen-eleman yang menyalahi syariah seperti beraksi dengan tarian.

Tambah Pahrol lagi, jika seseorang itu melakukan sesuatu dan perkara tersebut boleh mengundang terjadinya fitnah, ia adalah haram atau berdosa.

"Tak salah nak buat sesuatu kelainan. Cuma, ia akan jadi haram apabila ada elemen yang menyalahi syariah Islam seperti wanita beraksi dengan tarian.

"Dalam Islam jika mahu membuat promosi produk mesti mematuhi peraturan dari Allah. Namun, tindakan Neelofa memilih kelab malam itu sudah dikira mengundang fitnah adalah berdosa.

"Jadi, tak perlulah melakukan sesuatu mengundang fitnah. Kelab malam sudah sinonim dengan minuman keras dan perkara yang menyalahi syariah Islam," ujarnya.

Dalam pada itu, menerusi sidang media pada pelancaran tersebut pada malam Isnin, Neelofa tidak peduli kritikan netizen mengenai pemilihan lokasi pelancaran koleksi tudung dan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-29.

Kata pengacara program Meletop itu, dia tahu apa yang dilakukannya dan lokasi yang dipilih sesuai dengan tema.

Tambahnya, dia perlu keluarkan wang lapan kali ganda bagi memenuhi kehendak tema jika memilih tempat lain.
       
         

Sumber: Mstar Online