“Takkan Nak Curi Seluar Dalam, Baik Curi Hati Orang”


PELAKON yang popular menerusi drama rantaian Ku Kirim Cinta, Redza Rosli menjadi bualan hangat netizen apabila didakwa mencuri seluar dalam di salah pusat membeli belah di Johor Bahru, baru-baru ini.

Ekoran hal itu, Redza mengakui dihujani panggilan telefon serta pesanan peribadi daripada pelbagai pihak yang bertanyakan berhubung insiden berkenaan.

Malah, tidak kurang juga ada segelintir pihak yang bertindak sebagai ‘nasi tambah’ sehingga membuatkan keadaan sedia ada semakin keruh.

Sedar isu tersebut menjadi bualan ramai, Redza tampil menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku sekaligus  menyelar semua dakwaan tersebut.

“Ramai menyangka saya ditahan kerana mencuri seluar dalam, malah panggilan telefon dan pesanan ringkas terus diterima hingga ke hari ini bertanyakan perkara ini.

“Begitupun saya mengambil pendekatan untuk tidak terlalu mengambil serius. Lagipun tak akan saya nak curi seluar dalam, lebih baik saya curi hati orang,” katanya dipetik Harian Metro.

Menurut Redza, dia menegaskan bahawa cerita-cerita ‘panas’ yang tersebar di media sosial sebelum ini yang mana mendakwa aktor itu mencuri adalah tidak benar sama sekali.

Jelasnya, dia ditahan bukan atas sebab mencuri sebaliknya jurujual pusat pakaian terbabit terlupa untuk menanggalkan alat pengesan pada pakaian yang dibeli.

“Video berkenaan sudah lama di muat naik oleh pengarah Jinggo, namun disensasikan semula oleh blog berkenaan.

“Menerusi video ini, Jinggo sengaja mengusik mengatakan saya mencuri seluar dalam apabila ditahan staf butik berkenaan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Redza menasihati para blogger khususnya agar tidak ‘memanaskan’ cerita tidak benar dengan meletakkan tajuk yang boleh mengundang fitnah.

“Tolonglah, blogger ini kadangkala suka mensensasikan tajuk yang tidak benar. Lain kali tulis artikel yang bertauliah bukan dengan tajuk yang begini,” pesan Redza.

Sebelum ini, pengarah, Jinggo yang juga suami kepada pelakon, Sheila Rusly memuat naik sebuah rakaman memaparkan beliau bergurau dengan mengatakan Redza ditahan beberapa staf pusat pakaian kerana mencuri seluar dalam.

Bagaimanapun, rakaman itu telah disalaherti oleh segelintir pihak yang mana bertindak berkongsi video berkenaan dengan meletakkan tajuk yang mengundang fitnah terhadap aktor kacak tersebut. - Kedahnews.com