'Terasa Taring Mencucuk Ke Dalam Kaki'


KUALA PILAH - “Saya laungkan Allahuakbar sewaktu dibaham babi dan bersyukur ketika kejadian, ada jiran membantu kalau tidak, saya fikir mati,” kata Marzuki Mohd Yasin, 72, mangsa serangan seekor babi hutan di Kampung Padang Lebar, Batu Kikir.

Mengimbau detik diserang pada 8 Februari lalu, Marzuki, 72, berkata, sejurus kejadian, dia dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah Kuala Pilah dan menerima rawatan selama tiga hari akibat parah di kedua-dua kaki dan seluruh badan akibat gigitan haiwan liar itu.

“Saya keluar rumah tinjau bunyi bising dari arah dapur jam 11.30 malam, tetapi saya dikejutkan dengan kehadiran seekor babi hutan.

“Saya panik, dalam keadaan gelap, saya berlari sekuat hati tapi terjatuh tersembam ke tanah. Ketika itu, babi hutan menerkam, menyondol dan membaham kedua kaki dan betis.

“Seingat saya, selama lima minit saya bergelut dan setiap kali meronta, gigitan babi makin kuat dan terasa taring mencucuk ke dalam daging kaki.

“Taringnya sepanjang 7cm, memang sukar nak lepaskan diri," katanya sambil memberitahu dia sempat dibantu jiran, Mohd Firdaus Marzuki, 29.

Dia yang trauma berkata, masih kedengaran bunyi babi hutan di halaman rumah setiap malam sekali gus menimbulkan rasa bimbang.

“Saya harap ada pihak bantu hapuskan binatang buas ini sebab kejadian ini boleh berulang dan berlaku kepada orang lain,” katanya.

Kini Marzuki hanya berehat di rumah dan mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Padang Lebar setiap hari.

“Saya perlu cuci luka bekas gigitan dan tukar kain pembalut luka.

“Biarpun pergerakan agak terbatas, saya bersyukur kerana ditemani ibu, yang banyak membantu menyapu ubat luka dan menolak kerusi roda,” katanya.

Tambahnya, dia akan kembali bekerja setelah pulih untuk membantu ibunya, Iyah Bada, 89.

Sinar Harian pada 9 Febuari lalu, memaparkan kisah Marzuki bergelut dengan seekor babi hutan dan berjaya diselamatkan dengan bantuan seorang jiran.

Sumber: Sinar Harian