'Terima RM19 Juta Untuk Tutup Kes' Terowong P. Pinang, Ahli Perniagaan Direman 6 Hari


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang ahli perniagaan kerana dipercayai menerima wang berjumlah RM19 juta bagi menutup kes siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.


Suspek yang ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 3.48 petang semalam, direman enam hari.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman suspek itu sehingga 5 Mac ini.  

Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjutdan hanya memberitahu ia masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.


Suspek yang berusia 37 tahun itu dipercayai  menerima wang berkenaan daripada syarikat pembinaan utama projek terbabit selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.


Pihak syarikat berkenaan membayar wang berjumlah RM19 juta itu secara berperingkat sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.


"SPRM menjalankan siasatan terhadap kajian projek mega di Pulau Pinang itu dan suspek berkemungkinan meyakinkan syarikat pembinaan utama itu bahawa dia mampu menutup dan menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.


"Pembayaran sebanyak RM19 juta sudah dilakukan dengan pembayaran pertama berjumlah RM2 juta pada Julai tahun lalu di rumah suspek.


"Bayaran kedua iaitu sebanyak RM15 juta pula dilakukan kepada sebuah syarikat pada bulan sama dan pembayaran ketiga dan terakhir pada Ogos tahun lalu," katanya. - Kedahnew.com