ALOR SETAR - Terkejut besar seorang lelaki dari Kampung Banggol Sik setelah dia menyedari "wujud sesuatu yang tidak diundang" ketika dia menghidupkan enjin keretanya semalam.
Hasratnya untuk ke kedai terbantut selepas menyedari kehadiran seekor ular tedung selar dalam bonet keretanya, malam semalam.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sik, Kapten (PA) Mohd Mukhrij Md Sabir berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan penemuan itu.
Apa yang difahamkan, kehadiran ular seberat 5.8 kilogram dan sepanjang lima meter itu disedari oleh individi itu ketika dia cuba menghidupkan enjin kenderaannya.
“Semasa menghidupkan enjin kereta, dia terdengar bunyi dengusan seperti ular dari dalam bonet kereta dan yakin ada ular di dalamnya.
“Tanpa membuka bonet, dia segera hubungi APM untuk bantuan. Pihak kami ambil masa selama 10 minit untuk menangkap ular berkenaan,” katanya.
Mujurlah tiada sebarang kejadian yang tidak diingin berlaku. Sementara itu, beliau berkata, semenjak dari Januari hingga bulan ini, pihaknya menerima sekurang-kurangnya lapan aduan berkaitan ular tedung selar. - Kedahnews.com