RATU pop Etnik dan penyanyi asal lagi Dikir Puteri, Noraniza Idris meluahkan rasa bangga dan terharunya apabila lagu yang pernah dipopularkan olehnya itu kembali diperkatakan apabila menjadi pilihan peserta program The Voice Thailand, baru-baru ini.
Kata Noraniza kepada Sinar Harian, ia jelas membuktikan bahawa pengaruh Irama Malaysia berjaya meletakkan keyakinan masyarakat luar negara untuk menghargai karya tempatan yang dianggap terbaik dan unik dari Malaysia.
“Tidak sia-sia kita memaparkan elemen Dikir Barat yang divisualkan melalui klip video sebagai mempromosikan kebudayaan memperkenalkan Malaysia dengan lebih dekat.
“Satu kekuatan apabila melihat persembahan mereka benar-benar menghormati dan menghargai konsep lagu tersebut.
“Dari nyanyian, lirik (walaupun sedikit pelat), pakaian, lenggok air dikir barat nyanyian saya, mereka cuba buat dengan sebaiknya ,” ujar Noraniza.
Menurut penyanyi ini lagi, dalam setiap lagu Irama Malaysia yang dinyanyikan, pasti ada satu identiti lenggok nyanyian dari caranya yang tersendiri yang dibentuk.
“Menerusi persembahan tersebut, saya dapat mengesan mereka mengguna pakai cara lenggok saya untuk persembahan lagu tersebut dan bersungguh-sungguh koreograf persembahan mengikut identiti lagu tersebut agar sesuai dengan konsep dikir barat .
“Malah mereka juga tidak malu menggayakan cara orang Kelantan walaupun Thailand juga tidak lari jauh dari sejarah susur galur dengan negeri tersebut, ” luahnya..
Dalam pada itu, Noraniza mengharapkan agar Irama Malaysia tidak dipinggirkan dalam arus kemodenan masyarakat hari ini.
“Lagu itu menjadi tular ketika masyarakat kita seolah menganggap Irama Malaysia tidak lagi berada mengikut standard penerimaan masyarakat pendengar kita sekarang.
“Sepatutnya ia tidak boleh terus dipinggirkan kerana irama ini adalah produk motivasi yang bersifat mendidik jatidiri masyarakat Malaysia, khasnya anak-anak generasi pelapis kita dalam sebuah negara yang pelbagai kaum dan kaya dengan nilai budaya,” kata Noraniza yang cukup terkenal dengan dedikasinya dalam memperjuangkan lagu Irama Malaysia sehingga kini.
Terdahulu, lagu Dikir Puteri menjadi tular selepas peserta duo rancangan realiti TV popular, The Voice Thailand, memilih untuk menyanyikan lagu ini dalam salah satu persembahan mereka.
Video persembahan mereka telah menarik perhatian ramai sehingga ditonton lebih 1.4 juta kali di YouTube dan Facebook sejak dimuat naik 11 Februari lalu.
Sumber: Awani