Tiada Belas Kasihan Bagi Pelaku Rasuah – SPRM


KOTA BHARU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) beranggapan pemberi dan penerima rasuah tidak harus diberi belas kasihan sebaliknya perlu dikenakan tindakan tegas sekiranya terbukti bersalah melakukan jenayah itu.

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusof berkata tindakan tegas tersebut bertujuan memberi pengajaran kepada semua pihak agar tidak melakukan kesalahan tersebut.

“Orang ramai termasuk orang awam atau kakitangan awam serta swasta dinasihatkan supaya tidak sama sekali terbabit dalam kegiatan ini kerana mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Melafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) 300 Kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan serta 60 pembekal dan kontraktor jabatan itu di sini, semalam.

Bacaan ikrar berkenaan diketuai oleh Pengarah JPS Kelantan, Kamal Mustapha. – Bernama