PENYANYI Ameng Spring mengakui tidak pernah menokok tambah kisah pengalamannya berada dalam penjara sewaktu memberikan ceramah motivasi kepada masyarakat.
Penafian itu dibuat bagi menepis dakwaan segelintir netizen di laman sosial yang mengatakan Ameng memasukkan unsur-unsur dramatik bagi menyedapkan ceritanya.
“Apabila dijemput untuk program begitu, sudah tentu saya akan bercerita bagaimana situasi saya di dalam penjara dan pernah dirotan sebanyak 10 sebatan.
“Saya hanya bercerita bagaimana saya berdepan kesakitan tanpa doktor yang merawat. Apa yang saya cakap itu benar dan apa yang orang (individu) itu cakap tidak benar kerana dia tidak masuk penjara.
“Tiada doktor dalam penjara dan tiada ubat diberikan. Manakala 10 sebatan itu dilakukan berterusan tanpa henti,” katanya.
Ameng, 50, berkata, biasanya maksimum 20 sebatan akan dijalankan sekaligus dan sekiranya 40 sebatan ia perlu dijalankan dalam dua sesi.
“Saya kena 10 sebatan satu sesi dan sakitnya tidak tertahan. Orang yang komen itu tidak pernah masuk penjara dan tidak tahu keadaan sebenar. Hanya mereka yang masuk penjara tahu apa ada di dalamnya.
“Cerita saya adalah benar tanpa dibuat sebarang tokok tambah. Saya bukan hentam keromo bercerita pengalaman kerana selepas keluar penjara, saya bertanyakan pegawai penjara apa yang perlu saya ceritakan kepada masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah Ameng, pegawai itu menyuruhnya bercerita apa saja pengalaman pahitnya untuk menghindari orang lain daripada masuk penjara.
“Mereka benarkan saya berkongsi dengan masyarakat. Janganlah pula apabila dengar saya bercerita, orang akan tertarik dan nak masuk penjara pula.
“Saya perlu bercerita agar orang menjauhi penjara. Ini pengalaman saya agar orang gerun nak masuk penjara, gerun untuk buat salah, gerun dari hisap dadah, mencuri dan sebagainya lagi,” katanya.
Ameng berkata, kehidupan di dalam penjara bukanlah seperti yang disangkakan dan sebenarnya lebih teruk daripada apa yang ramai bayangkan.
“Ia bukan tempat kurungan semata-mata tetapi penuh dengan undang-undang yang ketat. Undang-undang yang paling berat ialah ingkar perintah.
Apabila disuruh dan kita tidak buat, ia bermakna kita ingkar perintah dan didenda masuk bilik gelap bawah tanah,” katanya.
Ameng dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.
Dia menjalani hukuman di Penjara Kluang, Johor dan dibebaskan pada 14 Jun 2016 selepas menjalani hukuman selama lima tahun setengah.
Hukuman itu dipendekkan berikutan Ameng berkelakuan baik dan menampilkan disiplin cemerlang sepanjang menjalani hukuman.
Sementara itu, Ameng bersama kumpulan Spring akan kembali bergabung menghiburkan peminat dalam satu persembahan khas yang akan berlangsung di Restoran D’Saji KL Titiwangsa pada 9 Mac ini.
“Ini satu cabaran kerana saya sudah lama tidak menyampaikan banyak lagu di atas pentas. Saya kini kerap berjoging dan ke gimnasium untuk mendapatkan stamina.
“Untuk latihan vokal pula, saya amalkan mengaji setiap pagi selepas Subuh. Saya biasanya akan bertarannum dalam tujuh jenis tarrannum antaranya Bayyati, Hijjaz, Sikah dan Jiharkah.
“Mengaji dan menyanyi tidak sama kerana mengaji memerlukan kita menghabiskan satu ayat dengan satu nafas manakala menyanyi pula boleh berhenti-henti,” katanya.
Sumber -Hmetro