Tiada Pihak Pengaruhi Jabatan Peguam Negara


KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara menafikan tohmahan yang disebarkan kononnya jabatan itu bertindak mengikut arahan dan pengaruh pihak luar.

Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan media menegaskan sebarang tindakan diambil oleh Peguam Negara adalah berasaskan lunas undang-undang.

“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa apa-apa tindakan yang diambil oleh Peguam Negara selaku penasihat undang-undang utama Kerajaan Persekutuan serta pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dibuat mengikut pertimbangan.

“Pertimbangan itu adalah yang bebas, telus dan teliti mengikut lunas undang-undang dan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang,” kata kenyataan itu semalam.

Menurut kenyataan itu, pegawai di Jabatan Peguam Negara adalah anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan dan berdasarkan Perkara 138 Perlembagaan Persekutuan.

Jelas kenyataan itu, ia bermakna Jabatan Peguam Negara tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

Justeur, hal-hal seperti pelantikan dan kenaikan pangkat pegawai undang-undang adalah di bawah kuasa SPKP yang menjalankan fungsinya dengan telus dan bebas, tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

“Jabatan Peguam Negara memandang serius kenyataan yang mempertikai integriti jabatan ini selaku sebuah institusi perundangan negara yang sentiasa mendukung prinsip kedaulatan undang-undang dan bertekad menegakkan keadilan,” kata kenyataan itu. - Kedahnews.com