Tiada Subsidi Tidak Benar: Najib


RAKYAT Malaysia seharusnya tidak terpengaruh dengan tuduhan bahawa kerajaan tidak menyediakan subsidi untuk rakyat kerana tohmahan tersebut tidak benar sama sekali, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menegaskan kerajaan memperuntukkan banyak belanja untuk subsidi dalam pelbagai  sektor, perdana menteri berkata, beliau mendengar seruan meminta kerajaan menyediakan subsidi bertujuan  mengurangkan kos sara hidup.

“Seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018, sebanyak RM3.9 bilion disediakan untuk subsidi barang dan pengangkutan seperti gas memasak, tepung, minyak masak, dan banyak lagi.

“Selain subsidi barang, terdapat subsidi elektrik dan tol supaya kenaikan kadar elektrik dan tol dapat dielakkan,” katanya menerusi catatan di blog rasmi  www.najibrazak.com, semalam.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, menjelaskan sebanyak RM26.5 bilion disediakan untuk penjagaan kesihatan pada 2018 meskipun kutipan  sektor itu hanya RM600 juta dan selebihnya ditanggung kerajaan.

Sejak 2012, beliau berkata, yuran wajib dikecualikan sepenuhnya di sekolah kerajaan dan kerajaan turut membiayai kira-kira 90 peratus daripada yuran pengajian universiti.

Bagi sektor perumahan, Najib berkata, kerajaan menyediakan subsidi dalam bentuk bantuan deposit iaitu Skim MyDeposit dan subsidi rumah kos rendah seperti Program Perumahan Rakyat, Rumah Generasi Kedua Felda, Rumah Bina Negara Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan lain-lain.

Sumber: Sinar