Tidak Wajar Pemimpin PAN, PPBM Panggil PAS sebagai 'PIGS' - Ahli Akademik


Adalah tidak molek pemimpin Parti Amanah Negara (PAN) yang terdiri daripada bekas pemimpin PAS memanggil atau menggelar PIGS terhadap parti  PAS yang mereka telah ditinggalkan. 

Sabtu lalu Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah memanggil PAS dengan gelaran PIGS  iaitu singkatan daripada gabungan PAS - Ikatan Gagasan Sejahtera.

Panggilan itu dibuat pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Pakatan Harapan Pasir Mas, Kelantan malam kelmarin. 

 “Kita akan mengalahkan PAS Ikatan Gagasan Ssejahtera... PIGS. Ha.. PIGS,. Ambo tak sebut, ambo eja jah. Sebut bahaya, eja tak apa. PIGS,” kata Wan Abdul Rahim.

Bagi Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff  beliau amat terkejut mendengar poerkataan itu di selitkan pada ucapan tersebut.

Dalam catatan beliau dalam Facebook semalam, Dr. Kamarul Zaman yang juga seorang pensyarah UUM dan penganalisis politik berkata panggilan PAS dengan gelaran 'PIGS' ini turut dibuat oleh penceramah lain selepas itu, Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Kelantan, Datuk Sazmi Miah.

"Pada hemat saya, memanggil PAS dengan gelaran 'PIGS' ini bukanlah satu tindakan yang baik kerana ia boleh meningkatkan lagi suhu politik malah boleh mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan rakyat, " ujar Kamarul Zaman.

Menurut beliau, sekiraya gelaran sebegitu digunakan oleh ahli bawahan, mungkin boleh diterima sesuai dengan taraf mereka sebagai ahli bawahan, tetapi tidak patut jika mereka yang bergelar pengerusi atau timbalan oengerusi Negeri turut berbuat demikian.

Apatah lagi kerana penggunaan gelaran PIGS ini adalah sesuatu yang tidak tepat kerana Gagasan Sejahtera sebenarnya bukan sahaja dianggotai oleh PAS dan Ikatan tetapi oleh parti lain seperti Berjasa. - Kedahnews.com