Tindakan Mahathir Heret RoS Ke Mahkamah Lambatkan Lagi Proses Pendaftaran PH?


Tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan gabungan empat parti pembangkang untuk mengheret Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) ke mahkamah untuk mendesak kelulusan Pakatan Harapan disegerakan adalah tindakan yang cukup terdesak. 

Dalam masa yang sama empat sayap Pemuda Pakatan Harapan (PH) pula menyerahkan memorandum mendesak RoS mempercepatkan kelulusan pendaftaran PH dan siasatan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Bagaimanapun Ketua Pengarah RoS, Surayati Ibrahim berkata  saman terhadap agensi itu di mahkamah hanya akan merencatkan proses pendaftarannya Pakatan Harapan.

"Kita mempunyai hak untuk mempertahankan tindakan menggunakan akta ini bagi menyiasat semua permohonan, khususnya membabitkan kes PPBM susulan pelbagai aduan daripada peringkat akar umbi dan bekas ahli partinya," katanya.

Untuk rekod, Pakatan Harapan belum lagi diperakui sebagai badan yang sah mengikut Akta Pertubuhan 1966.

RoS sedia berdepan PH di mahkamah kerana agensi terbabit diperuntukkan kuasa menerusi Akta Pertubuhan 1966 untuk meneliti sebarang aduan dan isu melanda PPBM, sekali gus mengundang risiko pendaftarannya dibatalkan serta menjejaskan status pakatan pembangkang.

Pengerusi PH,  Dr Mahathir sebelum ini mendakwa 'kegagalan' RoS melaksanakan peranannya sebagai agensi kerajaan didakwa menyebabkan rangkaian kerja dan persediaan PH berdepan pilihan raya umum terpaksa ditangguhkan.

Ekoran kelewatan menyelesaikan itu PPBM, Dr. Mahathir juga melemparkan pembagai tuduhan kepada agensi itu.

Menurut Surayati, RoS pula sedang meneliti semua aduan dan percanggahan dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) sebelum memproses permohonan pendaftarannya.

Walaupun disaman, tegas Surayati, ROS bertanggungjawab untuk meneliti isu dan aduan membabitkan pertubuhan yang didaftarkan di Malaysia bagi memastikan kesahihan penubuhan serta tindakannya.

"Pendaftaran PPBM sepatutnya kes mudah dalam memastikan sayap pemudanya atau Armada terkandung dalam perlembagaan parti, namun semakan lanjut mendapati wujud aduan daripada peringkat akar umbi dan bekas ahli parti bahawa mesyuarat agung tahunan tidak dianjurkan pada semua peringkat.

"Setakat ini, ada 430 aduan atas meja saya yang belum diteliti ROS," katanya yang dipetik daripada BH hari ini.

Beliau turut bingung dengan tindakan PH memfailkan saman di mahkamah kerana pakatan itu belum diperakui sebagai badan yang sah mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Sementara itu ROS mengingatkan PH untuk tidak menganjurkan sebagai demonstrasi atau perhimpunan haram kerana mereka ketika ini tidak diiktiraf di sisi perundangan.

"Kerajaan belum mengambil tindakan, tetapi ia boleh dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan yang sama Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyerahkan satu memorandum kepada Pengarah Bahagian Pengurusan Pertubuhan ROS, Mohd Rejab Ramli, petang semalam di ibu pejabat ROS.

Lebih 50 ahli Pemuda mewakili empat parti dalam PH yang diketuai Syed Saddiq berhimpun di luar perkarangan pejabat ROS sambil memegang poster memaparkan gesaan supaya ROS lebih telus dan berintegriti serta mempercepatkan siasatan terhadap isu berbangkit.

Persoalan yang timbul ialah pelbagai aduan terhadap PPBM oleh ahlinya masih dalam siasatan,  sekaligus mengheret kepada kelwatan memproses pendaftaran PH.

Sebelum ini bekas pemimpin PPBM meminta ROS tidak takut dengan 'tekanan' Dr. Mahathir sementara bekas ahli dan ahli parti itu mahu ROS mengambil tindakan terhadap PPBM kerana gagal mematuhi perlembagan parti.

Ada di antaranya juga mencadang agar pendaftaran PPBM dibatalkan atau parti itu dibubarkan sahaja. -Kedahnews.com