Transgender Dan Khunsa Jauh Beza – Pejabat Mufti WP


KUALA LUMPUR – Transgender dan khunsa (interseks) adalah jauh berbeza daripada sudut istilah dan pemahamannya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua perkara itu juga berbeza berdasarkan hukum Islam.

“Normalisasi istilah transgender yang disamakan dengan khunsa boleh membawa salah faham masyarakat dalam hal ini,” kata kenyataan itu hari ini.

PMWP berkata demikian bagi memperbetulkan laporan beberapa portal berita komuniti transgender melakukan kunjungan balas ke PMWP.

Menurut kenyataan itu, laporan portal berita berkenaan membuka ruang kepada salah faham kepada tujuan sebenar Mufti Wilayah Persekutuan dalam isu itu.

PMWP turut menjelaskan, fatwa tahun 1982 yang dilaporkan bukan fatwa dari sudut perundangan, tetapi keputusan hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

“Ia membawa implikasi berbeza dalam sistem perundangan di Malaysia.

“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mendapatkan info dan maklumat sebenar terus daripada Facebook, Instagram, Telegram dan Twitter rasmi Mufti Wilayah Persekutuan selain web www.muftiwp.gov.my,” kata PMWP.

Semalam, portal berita terbabit melaporkan sebuah badan bukan kerajaan yang membawa isu transgender bermesyuarat dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohammad.

Ia dilaporkan bagi membincangkan langkah membantu komuniti itu melalui penyelidikan dan penerbitan yang mengalakkan kefahaman dan menghapus diskriminasi.

Laporan sama menyebut fatwa pada 1982 yang melarang pembedahan menukar jantina menyebabkan golongan transgender tidak dapat menyelesaikan identiti mereka. – Kedahnews.com