BUKIT MERTAJAM - Polis menafikan video penderaan seorang wanita yang viral di media sosial sejak Khamis adalah video kejadian amah Indonesia, Adelina Lisao, 26, yang meninggal dunia 11 Februari lalu akibat didera majikannya.
Video selama lebih dua minit itu memaparkan aksi seorang wanita lingkungan umur 50-an membelasah dan memukul seorang wanita tidak dikenali dengan kayu.
Aksi itu dirakam individu tidak dikenali dari tingkat atas rumah atau kedai berdekatan lokasi kejadian.
Berdasarkan video itu juga, mangsa duduk di lantai sambil menangis manakala seorang wanita memukul dan memijaknya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata video itu bukan kejadian yang membabitkan Adelina tempoh hari dan menasihatkan agar orang ramai tidak menyebarkan video itu kononnya ia adalah kejadian dera yang membabitkan amah berkenaan.
"Jangan terlalu percaya dengan sebarang bentuk video atau gambar yang tersebar tanpa pengesahan pihak berkuasa," katanya.
Adelina meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam minggu lalu, selepas diselamatkan dari rumah majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, dengan pelbagai kesan kecederaan teruk pada kepala, muka serta luka di kedua-dua tangan dan kaki.
Mangsa dikatakan dipaksa tidur di luar rumah bersama anjing.
Susulan kejadian itu, tiga beranak ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: BH Online