Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mempersoalkan mengapa Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mengamalkan kebebasan bersuara pada zaman pemerintahan beliau selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri.
"Mengapa sistem yang Dr. Mahathir gunakan dahulu dianggap sebagai tidak telus sedangkan sistem pilihan raya yang diadakan ketika pentadbiran, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat jauh lebih baik dan adil,'' kata Azlan.
Beliau mengulas tindakan Pengerusi Pakatan Harapan itu yang mengadakan perjumpaan dengan 16 duta dari negara-negara Kesatuan Eropah (EU) bagi menggesa mereka memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk mengadakan Pilihan Raya Umum yang bersih dan adil.
"Kita masih mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan saya rasa sistem sedia ada itu telah ditambah baik di zaman Perdana Menteri sekarang," kata Azlan selepas Majlis makan malam bersama pemimpin-pemimpin masyarakat Cina negeri di Kangar malam semalam.
Beliau berkata lagi, sistem digunakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dahulu sehingga kini juga membolehkan Dr. Mahathir berkuasa selama 22 tahun.
Azlan juga mengimbas semua zaman pemerintahan Dr. Mahathir yang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan penentang-penentang politik beliau.
Dr. Mahathir yang pernah menjawat Menteri Dalam Negeri juga menyekat kebebasan media hingga ada akhbar yang digantung permit dan dihalang penjualannya.
Peristiwa Memali di Baling yang mengorbankan nyawa penduduk dan anggota polis juga antara bukti bekas Perdana Menteri itu menggunakan kuasanya bagi menyekat perjuangan PAS yang dianggapnya sebagai ekstrem pada masa itu.
Sebelum ini Perdana Menteri menyatakan pertemuan pimpinan Pakatan Harapan dengan perwakilan negara EU sebagai cubaan mendapatkan sokongan pihak luar sekiranya keputusan pilihan raya umum ke-14 tidak memihak kepada pembangkang.
Najib juga menyifatkan pakatan pembangkang kini berada dalam keadaan tersepit kerana tidak mempunyai peluang menang hingga terpaksa mendapatkan sokongan pihak luar. - Kedahnews.com