SIK - Seorang wanita yang baharu selesai mengemas biliknya di Taman Tasik Telaga Batu di sini hari ini, mungkin tidak dapat melupakan pengalaman ditemani seekor ular tedung selar yang menumpang berteduh di tepi almari dalam biliknya.
Dia yang terperanjat selepas terserempak dengan ular sepanjang 12 meter dan anggaran berat 12 kilogram itu bergegas keluar untuk mendapatkan bantuan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM), Kapten (PA) Mohd Mukhrij Md Sabir berkata, wanita itu panik selepas terlihat seekor ular di tepi almari bilik tersebut.
"Selepas wanita itu siap mengemas. dia mengambil tuala untuk mandi dan ketika itu terdengar bunyi dengusan ular dalam bilik berkenaan.
"Apabila diteliti wanita itu melihat sebahagian badan ular seperti tedung selar di tepi almari sebelum menjerit dan lari mendapatkan bantuan jiran," katanya.
Menurutnya, empat anggota APM dihantar ke lokasi dan pihaknya mengambil masa sekitar 15 minit untuk menangkap reptilia tersebut.
Sumber: Sinar Harian