Undi Melayu Pecah, Saingan Tiga Penjuru Tak Untungkan Pakatan Harapan - PKR


Kemelut yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan 'perkelahian' antara empat parti dalam Pakatan Harapan berhubung pembahagian kerusi selain janji kepada rakyat yang tidak boleh ditunai oleh Pakatan Harapan merupakan isyarat awal pembangkang sukar mencapai kemenangan pada PRU14.

Pemimpin Pakatan Harapan kini berbelah-bahagi dan mengakui bahawa pertandingan tiga penjuru tidak menguntungkan atau memberi kelebihan kepada mana-mana parti kerana undi orang Melayu akan berpecah. 

Bagi Ahli Majlis Pimpinan PKR, Datuk Kamaruddin Jaafar  kemungkinan pengundi terus mengundi kerajaan sekarang dan juga pengganti kerajaan.

 Ini kerana Barisan Nasional (BN) atau PH masing-masing mempunyai kekuatan dan rakyat akan membuat penilaian berdasarkan pengalaman parti mentadbir.

"Rakyat kini lebih bijak memilih pemimpin yang lebih stabil dan boleh menyelesaikan isu berkaitan kos sara hidup yang tinggi," katanya.

Oleh itu beliau melihat pertembungan tiga penjuru itu tidak memberi kelebihan kepada mana-mana parti, termasuk PKR sendiri.

"PAS juga mempunyai peluang yang tipis untuk menang apabila mereka tidak lagi bersama-sama dengan pakatan pembangkang yang lain, "kata yang dipetik daripada BH dan beberapa portal berita.
Beliau juga mengakui bahawa Barisan Nasional mempunyai kekuatan.

Mereka di pihak pembangkang juga berpandangan bahawa pakatan tidak boleh lagi menyatakan keyakinan bahawa kemenangan akan berpihak kepada mereka.

Berdasarkan kajian, 106 kerusi kemungkinan akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru di kawasan majoriti pengundi Melayu pada PRU14 yang mana tiga parti utama ditunjangi Melayu, iaitu UMNO, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), dijangka bertanding 44 kerusi Parlimen.

Sementara itu, 35 kerusi menyaksikan persaingan antara UMNO dengan PAS dan PKR, manakala 27 lagi kerusi pertembungan antara UMNO, PAS dan PAN.

Pengarah Komunikasi PAN yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad  berkata, PH bergantung kepada PPBM untuk memecahkan undi Melayu di kawasan tiga penjuru kerana undi yang di bawa PPBM itu sudah mengurangkan jumlah majoriti yang diperoleh UMNO.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff sebelum ini berkata  kepercayaan pengundi kepada pakatan pembangkang tidak mampu meyakinkan pengundi Melayu bahawa mereka akan mampu membela kepentingan Melayu Islam jika berkuasa.

Menurutnya pertembungan tiga penjuru di lebih 100 kawasan Parlimen tidak akan menjejaskan jumlah undi di kawasan majoriti Melayu walaupun ada pertembungan tiga penjuru kerana kesedaran tinggi dalam kalangan pemilih.

Manakala Prof. Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berpendapat saingan tiga penjuru dijangka lebih memihak kepada BN tetapi bergantung kepada kawasan tertentu,  sama ada  ia menjadi kubu UMNO atau tidak.

Beliau memberi contoh, jika pertandingan tiga penjuru di antara UMNO, PAS dan PPBM, kelebihannya  berpihak kepada UMNO. - Kedahnews.com.