KUALA LUMPUR – Penyertaan Khairy Jamaluddin sendiri untuk bersama-sama menyediakan hidangan di sebuah restoran Cina menerusi satu klip video bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina menarik perhatian netizen.
Dalam klip video yang dimuat naik di akaun sosial beliau, Khairy bersama anak lelakinya, Jibreil membawa seekor ikan ke restoran Mui Fong di pekan Rembau, Negeri Sembilan dan meminta pemilik premis berkenaan, Yin Fah untuk menyediakan masakan.
Fah kemudiannya menunjukkan bagaimana menyediakannya yang merupakan antara hidangan popular masyarakat Tionghoa semasa sambutan Tahun Baharu Cina termasuk menceritakan keistimewaan hidangan itu yang membawa tuah dan kemakmuran.
“Melalui pengalaman ini, saya memahami bahawa masakan ikan mempunyai banyak maknanya yang tersendiri, terutama semasa sambutan makan besar. Antara lain, hidangan itu melambangkan kemakmuran yang melimpah ruah.
“Terima kasih diucapkan terutama kepada Aunty Yin Fah, pemilik restoran Mui Fong di pekan Rembau serta suaminya, Uncle Leong kerana sudi mengajar Jibreil dan saya untuk menyediakan hidangan istimewa berkenaan,” jelas Khairy.
Seorang netizen, Bonny Kong memuji corak penyampaian video itu yang mengetepikan perbezaan kaum dan politik.
“Benar-benar 1Malaysia. Pujian kepada anda,” jelas Kong.
seorang lagi pengguna Facebook, Jeyaraja Sekaran memuji kesungguhan Menteri Belia dan Sukan tersebut untuk menyelami kehidupan rakyat dalam segenap aspek daripada hal ehwal sukan sehinggalah kepada pelbagai perkara termasuk toleransi kaum.
Pada penghujung video yang berdurasi dua minit itu, Khairy bersama anaknya turut sama menikmati hidangan tersebut bersama keluarga Fah dan menyampaikan ucapan sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut bermula 16 Februari ini.
Sumber: Utusan Online