Wanita Cedera Disimbah Cuka Getah Ketika Tidur


WANITA, 50- an, cedera di lengan dan muka termasuk mata kiri akibat disimbah cuka getah ketika sedang tidur di rumahnya di Kampung Chu Ward, Jempol, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Azham Shah Azlan berkata, kejadian pada 5.30 petang itu menyebabkan mangsa yang juga ibu tunggal menjerit kesakitan lalu meminta pertolongan rakan serumahnya.

"Mangsa mendakwa ia adalah kali kedua dia berdepan dengan insiden seumpama itu sejak tinggal di rumah sewa berkenaan dua bulan lalu, namun kejadian sebelum ini tidak menyebabkan kecederaan.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci bercerai dengan suaminya sejak enam tahun lalu," katanya.

Katanya, siasatan di tempat kejadian mendapati ada kesan umpil pada papan dinding di bahagian hujung katil mangsa.

"Mangsa mendakwa, kejadian pertama berlaku empat hari lalu ketika mahu masuk bilik air di belakang rumah dan melihat ada cecair di dinding yang mengalir dari lubang angin bilik air berkenaan.

"Berdasarkan pengalaman kerja mangsa, cecair itu adalah pencuci jubin dan mangsa tidak membuat laporan polis," katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bahau pada 6.15 petang semalam sebelum dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan sebagai pesakit luar.

"Siasatan dijalankan siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan," katanya.

Sumber – Metro