ALOR SETAR - “Apabila berjalan melalui kawasan bank, saya rasa menggigil seolah-olah kejadian dua tahun lalu berulang lagi,” ujar seorang mangsa ragut Hasmawati Hashim, 50.
Mangsa yang terpaksa bertongkat untuk bergerak berasal dari Kampung Banggol Derom, Mukim Bongor, berkata dia akan mengajak suami atau rakan menemaninya setiap kali mahu ke bank ataupun melalui kawasan berkenaan.
“Saya takut dan bimbang perkara buruk apabila menjadi mangsa ragut dua tahun lalu berlaku lagi yang hingga kini meninggalkan kesan yang sangat menyedihkan.
“Akibat kejadian itu, kedua-dua paha kiri dan kanan saya yang sememangnya cacat menjadi renggang hingga terpaksa bergantung dengan tongkat untuk bergerak,” katanya memetik MyMetro.
Menceritakan kembali kejadian itu, Hasmawati berkata, dia yang baru selesai memasukkan wang untuk dikirim kepada ibunya di bank di Bayan Lepas, Pulau Pinang sedang menunggu bas di pondok perhentian berhampiran.
“Pada mulanya saya ingatkan lelaki yang mengekori saya untuk menaiki bas yang sama tetapi terkejut apabila beg diragut sebelum berlaku perebutan.
“Dalam pergelutan itu saya terlepas beg tangan dan terjatuh menyebabkan kedua-dua paha saya menjadi renggang manakala kaki kanan retak dan berbalut sehingga sekarang,” katanya.
Menurut ibu mangsa, Sadah Md Ali, 69, berkata, anaknya Hasmawati dilahirkan dengan kedua-dua kakinya bengkok tetapi masih boleh bergerak untuk melakukan kerja.
“Bagaimanapun, apabila kejadian ragut dua tahun lalu berlaku, pergerakannya semakin sukar hingga memerlukan tongkat malah akan menjadi trauma melihat orang tidak dikenali datang ke rumah,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shariffuddin Yusuf berkata, pihaknya sentiasa berusaha memastikan jenayah di sesuatu kawasan tidak berleluasa terutama kes ragut.
“Kami menetapkan setiap anggota melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan kampung bagi memastikan kes ragut tidak berlaku atau berulang.
“Bagi kebanyakan kes, pengadu akan membuat laporan bagi memaklumkan kehilangan kad pengenalan dan wang yang tidak melebihi RM100. Laporan dibuat bagi membolehkan kad pengenalan baru diperoleh,” katanya.- Kedahnews.com