ROMPIN – Seorang wanita hamil tujuh bulan antara 105 individu yang ditahan dalam Op Perdana Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pahang yang dilakukan di tiga buah daerah di negeri ini selama dua hari sejak Ahad lepas.
Suspek, berusia 34 tahun yang ditahan di rumah ibu bapanya di Felda Keratong 6, di sini didapati positif dadah jenis heroin dan merupakan ibu tunggal dengan memiliki seorang anak lelaki berusia 12 tahun.
Pengarah AADK Pahang Rujhan Ramli berkata suspek yang bekerja sebagai pengutip buah sawit relai mengaku baru setahun terlibat dengan dadah dan bermula dengan syabu sebelum mengambil heroin.
“Malah dia turut mengaku terjebak dengan kegiatan haram itu akibat terpengaruh dengan adik lelakinya berusia 31 tahun yang turut ditahan dalam operasi itu,” kata Rujhan kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya dalam operasi yang diadakan di tiga daerah iaitu Pekan, Bera dan Rompin seramai 105 suspek telah ditahan, bagaimanapun hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati hanya 90 orang daripadanya didapati positif dadah.
“Tiga daerah ini bersempadan jadi kita jalankan operasi serentak menyebabkan penagih yang terlibat tidak dapat bolos dan operasi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk membanteras masalah ini daripada menjadi wabak dalam masyarakat kita,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama mengharapkan agar masyarakat terus memberikan sokongan dengan menyalurkan maklumat berkaitan dadah. – Bernama