KUALA LUMPUR - Penyanyi Wany Hasrita ‘memuji’ kreativiti segelintir pihak yang pantas menyamakan pakaiannya di Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL 32) Ahad lalu dengan botol air, pembalut gula-gula, daun terup, watak kartun dan filem.
Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 26, berkata, dia tidak mahu ambil pusing mengenai perkara itu kerana menganggap ia hal remeh.
“Apa saya boleh katakan, orang kita memang rajin dan kreatif dalam bab sebegini. Mereka ada banyak masa untuk melakukannya. Saya tidak tahu nak cakap apa sebaliknya hanya tergelak apabila melihat gambar ini.
“Tidak ada guna saya marah sebab ia hal remeh. Ia tidak meninggalkan kudis pun untuk saya. Banyak lagi perkara penting yang saya harus fikir.
“Kalau ada yang beranggapan saya akan melenting atau berasa malu, mereka silap. Cuma satu saja pesan saya, jadilah manusia yang berfikiran matang,” katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, baju warna merah rekaan pereka muda, Mirol Jonit yang dipakai ketika menyanyikan lagu Menahan Rindu tular di laman sosial sejak Ahad lalu.
Seorang pengguna laman Twitter memuat naik gambar Wany dan botol air di’retweet’ 1,376 kali dan mendapat lebih 900 ‘likes’.
Tidak hanya itu, baju Wany juga disamakan dengan pembalut gula-gula, watak kartun dan banyak lagi.
“Saya okey dan tidak ada masalah pun. Ini bukan kali pertama fesyen saya dikritik peminat. Saya sudah biasa. Apa pun, terima kasih atas keprihatinan peminat dan netizen,” katanya.
Sumber: MyMetro