ALOR SETAR - Seorang warga emas mendakwa keresahan setiap kali mendengar bunyi angin dan pokok bergoyang dari luar rumahnya di Kampung Teluk Jawa, Padang Hang, di sini.
Salleh@Shuib Mat, 71, berkata, dia bimbang pokok terletak berhampiran rumahnya menghempap dinding yang hanya menunggu masa untuk roboh.
“Sebelum ini ada dahan patah disebabkan angin kuat dan menghempap bahagian dapur. Sampai sekarang pak cik tidak mampu baiki dan terpaksa biar dinding senget.
“Pak cik bukan saja tak selesa tapi juga takut keselamatan terancam dihempap alang yang patah akibat pokok tumbang,” katanya.
Salleh berkata, rumah itu mengalami kerosakan serius akibat dimakan anai-anai termasuk beberapa kepingan bumbung tiada, dinding berlubang dan alang patah.
Menurutnya, lebih memburukkan keadaan apabila ada bahagian bumbung bocor sehingga mengakibatkan lawasan dalam rumah lencun dimasuki air setiap kali hujan.
"Pak cik memerlukan rumah yang selesa dan selamat untuk didiami bagi menghabiskan sisa kehidupan, tapi tak berkemampuan.
“Semasa masih kuat, pak cik menyara kehidupan seharian dengan kerja kampung sebagai tukang rumah, tapi sekarang dah tak upaya sebab usia dan kesihatan tidak mengizinkan akibat kencing manis," katanya.
Katanya yang tinggal bersendirian, dia kini bergantung hidup pada wang bantuan JKM RM150 sebulan untuk meneruskan hidup selepas kematian isteri.
“Dengan duit itulah pak cik tampung makan minum, duit itulah juga untuk bayar bil lain. Itu pun adakala tak cukup, tambah pula untuk baiki pulih rumah pusaka,” katanya.
Sementara itu, anak bongsunya, Zurina Salleh@Shuib, 37, berkata, dia yang merupakan suri rumah berulang-alik dari rumahnya di Kampung Kubang Teduh ke rumah bapa setiap hari.
Tambahnya, dia yang mempunyai tanggungan sendiri termasuk seorang anak OKU tiada pendapatan untuk membaiki rumah itu.
“Kak hanya dapat bantu hantar makanan dan tengok ayah. Lebih membimbangkan, rumah ini sudah dimasuki haiwan berbisa beberapa kali melalui dinding yang berlubang," katanya.
Justeru katanya, dia sekeluarga merayu kepada mana-mana pihak agar dapat membaiki kerosakan rumah bapanya untuk berteduh dari panas dan hujan tanpa kebimbangan.
Sumber: Sinar Online