ALOR SETAR - Wanita warga emas ditemui maut dalam keadaaan leher dan mulutnya dijerut tuala dipercayai akibat pergelutan dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Malaysia, Pumpong, Alor Setar, semalam.
Mayat mangsa Kau Fu Eng, 71, ditemui oleh anak perempuannya kira-kira jam 5.45 petang semalam selepas pulang daripada menghantar cucu mangsa ke kelas tuisyen.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata, ketika ditemui mangsa tidak sedarkan diri dengan kesan jerutan tuala di sebuah bilik di rumah itu.
"Selepas itu, anak perempuannya menghubungi hospital dan cuba melakukan CPR demi menyelamatkan mangsa, bagaimanapun tidak berjaya sebelum menefon polis.
"Melalui pemeriksaan awal, kita mendapati perompak dipercayai masuk ke rumah mangsa melalui pintu belakang kediaman itu yang terbuka. Malah, tiada sebarang umpilan ditemui.
"Siasatan mendapati, beberapa barang berharga termasuk barang kemas bernilai RM10,000 dan tablet hilang dipercayai dibawa lari," katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Kedahnews.com