PUTRAJAYA – Cuti umum bersempena Hari Pekerja pada tahun ini kekal pada 1 Mei seperti tahun-tahun sebelumnya meskipun program sambutan Hari Pekerja bagi tahun ini ditunda.
Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan di sini hari ini memaklumkan bahawa program Sambutan Hari Pekerja 2018 ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.
Kenyataan kementerian itu dikeluarkan bagi mengelakkan kekeliruan ekoran laporan yang memetik Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot tentang penundaan sambutan Hari Pekerja.
Beliau menyatakan kemungkinan sambutan tahun ini tidak dapat diadakan pada 1 Mei seperti kebiasaan dan mungkin hanya boleh dibuat selepas ‘satu raya besar’, yang merujuk kepada pilihan raya umum ke-14.
Hari Pekerja kebiasaannya diraikan pada 1 Mei setiap tahun dan tarikh tersebut merupakan hari cuti umum bagi seluruh Malaysia. – BERNAMA