KUALA LUMPUR - Sehari selepas memutuskan hukuman pemotongan mata ke atas 10 pasukan yang gagal melengkapkan pendaftaran Liga Malaysia (Liga-M) musim ini 'ditangguhkan', Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) semalam mendedahkan semua pasukan itu dikenakan denda keseluruhan berjumlah RM9 juta.
Keputusan FMLLP itu menyaksikan kegembiraan pasukan berkenaan hanya sementara dan lebih mengejutkan denda yang dikenakan itu bukan satu jumlah yang kecil, sebaliknya mampu menyesakkan nafas masing-masing.
Empat pasukan Liga Super - Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC - yang gagal melengkapkan pendaftaran masing-masing dikenakan denda RM1.5 juta, manakala enam pasukan Liga Perdana - Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, MIFA dan UKM FC - pula masing-masing perlu membayar denda sebanyak RM500,000 atas kesalahan yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam bagaimanapun menegaskan denda itu boleh dikurangkan berdasarkan rayuan daripada setiap pasukan dalam tempoh 14 hari.
"Ada dua bentuk hukuman kepada pasukan terbabit kerana ada dua kesalahan berbeza. Pasukan yang lewat menghantar dokumen dikenakan hukuman penangguhan pemotongan mata dan juga denda kewangan, manakala pasukan yang gagal menghantar dokumen yang lengkap dikenakan hukuman penangguhan pemotongan mata, denda kewangan dan sekatan perpindahan pemain baru sehingga isu ini selesai.
"Bagi pasukan Liga Super, mereka dikenakan denda sebanyak RM1.5 juta, manakala pasukan Liga Perdana RM500,000.
Bagaimanapun, denda ini mungkin dikurangkan berdasarkan rayuan yang dibuat. Andai gagal menjelaskan denda, bayaran boleh dibuat menerusi pemotongan geran tahunan," katanya ketika ditemui selepas majlis undian pusingan ketiga Piala FA, kelmarin.
Kelmarin, Pengerusi FMLLP, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas mesyuarat ahli lembaga pengarah badan pengelola Liga M itu berkata, pihaknya menangguhkan hukuman pemotongan mata sehingga tempoh pendaftaran pemain baru musim depan iaitu pada penghujung tahun ini.
Berdasarkan laporan sebelum ini, enam pasukan Kelantan, Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan, PDRM gagal melengkapkan dokumen, manakala Selangor, PKNS, MIFA dan UKM pula menghantar dokumen pendaftaran selepas tarikh akhir 3 Februari lalu.
Kevin berkata, pasukan yang gagal menghantar dokumen berdepan hukuman pemotongan enam mata, manakala pasukan lewat menghantar dokumen pula tiga mata.
"Hukuman ini ditangguhkan kerana matlamat kita bukan untuk bertindak kejam kepada pasukan dengan memotong mata. Pasukan berkenaan tidak akan dikenakan hukuman pemotongan mata jika mereka melengkapkan dokumen, tidak melanggar sebarang peraturan sepanjang musim.
"Kita tangguhkan dulu hukuman ini kerana sekarang mereka sudah tahu akibatnya jika mereka masih gagal melengkapkan dokumen atau melanggar peraturan sehingga tarikh akhir pendaftaran musim 2019, Disember nanti," katanya.
Sumber: BH Online