10 Tip Untuk Kekal Sihat Di Tempat Kerja


DUDUK di kerusi selama lapan jam, lima hari seminggu boleh memberi kesan pada tubuh anda jika anda tidak mengambil berat langkah menjaga kesihatan semasa bekerja.

10 tip ini boleh membantu anda lebih peka terhadap kesihatan anda di tempat kerja.

1. Berjaga-jaga dengan kudapan

Kudapan atau snek seperti kerepek, keropok, gula-gula yang diletak di atas meja yang dimakan tanpa berfikir panjang boleh menambahkan beratus kalori. Hati-hatilah agar tidak menambah berat badan anda tanpa sengaja.

2. Minum air yang cukup

Minum air yang cukup – sekitar lapan hingga 10 gelas sehari – untuk mengelakkan kekeringan. Boleh juga makan makanan berair seperti buah-buahan yang menyihatkan.

3. Cuba bersenam

Cuba berjalan, misalnya semasa waktu rehat tengahari sebagai satu bentuk senaman mudah. Aktiviti berjalan ini boleh meredakan tekanan dan menyegarkan badan selepas lama duduk. Pilihlah tangga dan cuba kurangkan penggunaan lif.

4. Jaga saiz hidangan

Selain makan makanan menyihatkan sebagai sebahagian diet sihat, perlu diperhatikan juga saiz hidangan. Apa-apa makanan pun beri kesan tidak baik kalau kita terlebih makan.

5. Awasi tension neck syndrome (TNS)

TNS berlaku apabila leher dan bahagian atas bahu anda berada dalam satu posisi yang kekal untuk tempoh yang lama. Pastikan bahagian ini tidak berada dalam satu posisi untuk satu tempoh lama.

6. Jarakkan mata dengan skrin

Mata anda boleh rasa tidak selesa bila lama menghadap komputer. Kesannya boleh menyebabkan sakit kepala, sukar fokus, dan jadi lebih sensitif pada cahaya. Jagalah jarak mata anda dengan skrin komputer.

7. Pergi bercuti sekali-sekala

Bercuti dan bersiar-siar boleh membantu anda mencas semula tenaga anda, mengurangkan tekanan dan melegakan fikiran daripada kerja. Ini boleh mengelakkan tekanan yang menyebabkan sistem imun menjadi lemah.

8. Elak kerja berterusan

Elakkan daripada bekerja untuk satu tempoh yang panjang tanpa berhenti, misalnya untuk menyiapkan projek tertentu. Ini boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan fizikal dan mental.

9. Jaga kebersihan

Peralatan kerja anda, misalnya komputer, tetikus, dan telefon boleh menjadi tempat berkumpul kuman yang boleh menyebabkan anda sakit. Jagalah kebersihan peralatan ini, misalnya dengan menggunakan semburan antikuman dan virus.

10. Tingkat kesedaran

Kenal pasti kemampuan dan had tubuh dan mental anda, agar tidak meletakkan kesihatan anda dalam risiko. Banyakkanlah bersenam supaya kekal sihat, di tempat kerja dan di mana sahaja. –Kedahnews.com