KOTA KINABALU – Dua nelayan warga Indonesia maut dipercayai terbelit pukat tunda ketika menarik dan menyusun pukat tunda berkenaan di atas kapal di perairan Pulau Mengalum, dekat sini, pagi kelmarin.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, nelayan berkenaan dikenali Muhamad Mansur, 31, dan Gading Abdullah, 21, dipercayai sudah meninggal dunia sebaik tiba di jeti dan terus dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth 1, untuk bedah siasat.
Katanya polis menerima maklumat kejadian itu daripada seorang pemilik bot tunda pada kira-kira 4.45 petang semalam yang melaporkan dua pekerjanya meninggal dunia semasa menarik dan menyusun tali pukat tunda di atas kapal.
“Tidak sebarang perbuatan atau unsur jenayah dikesan dalam kemalangan ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Dalam pada itu, Chandra berkata, orang ramai yang mengenali mangsa diminta membantu pihak polis menghubungi keluarga mereka bagi membolehkan keluarga mangsa berhubung dengan balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat. - Bernama